AM > BERITA

Sumbangan Mendiang Tiong Hiew King Kepada Masyarakat, Pendidikan Terus Dikenang

12/11/2025 09:09 PM

SIBU, 12 Nov (Bernama) -- Mendiang Tan Sri Tiong Hiew King merupakan seorang pemimpin hebat yang sumbangannya kepada masyarakat, pendidikan dan negara akan terus dikenang, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir di kediaman mendiang Tiong hari ini, beliau menyifatkan tikun media itu sebagai individu yang sangat berjasa kepada pembangunan komuniti dan pendidikan. 

“Beliau banyak menyumbang kepada masyarakat, negara dan negeri. Beliau telah memberikan sokongan tidak berbelah-bagi terutama dalam pendidikan, termasuk membantu sekolah persendirian dan sekolah Cina. Saya harap generasi muda dapat mencontohi apa yang telah dilakukan oleh Tan Sri. 

“Kami amat berdukacita atas pemergian pemimpin yang hebat ini, ia bukan sahaja satu kehilangan kepada Sibu tetapi juga negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Wong Soon Koh menyifatkan mendiang Tiong seorang ahli perniagaan yang berwawasan dan dermawan, dengan legasi terbesar dalam industri media iaitu memiliki beberapa akhbar berpengaruh termasuk Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh di Semenanjung Malaysia, sertai penerbitan di Kemboja, Papua New Guinea dan Perancis. 

“(Mendiang) Tan Sri (Tiong) seorang tokoh yang hebat. Daripada seorang budak kampung yang miskin beliau bangkit untuk menjadi usahawan berjaya dengan membina konglomerat yang terbabit dalam industri minyak sawit, pembalakan, perkapalan, pembinaan dan media.  

“Pemergian beliau satu kehilangan besar bukan sahaja buat Sarawak tetapi juga Malaysia dan dunia,” katanya.

Wong turut mengimbau persahabatan sekian lama beliau dengan mendiang Tiong yang disifatkan sebagai rakan yang sangat prihatin. 

“Mendiang suka membaca, begitu juga dengan saya. Beliau akan kirim buku untuk saya malah menghantar salinan percuma majalah Asia Week sejak 30 tahun lepas dan memastikan saya terus menerima majalah itu meskipun selepas kesihatannya mula merosot,” tambahnya. 

Mendiang Tiong, yang juga pengasas Rimbunan Hijau Group meninggal dunia semalam pada usia 90 tahun.

Upacara penghormatan terakhir kepada mendiang Tiong akan diadakan di kediamannya di No. 70 Brooke Drive di sini pada 7 pagi, Sabtu ini, sebelum dibawa ke Gereja Methodist Xin Fu Yuan, di Brooke Drive.

Selepas itu, jasad mendiang akan dibawa ke Tiong’s Memorial Park di Jalan Tebu, Off Jalan Teku untuk disemadikan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan