KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) menyifatkan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu terhadap pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah, merupakan langkah tepat selaras dengan semangat federalisme.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN menyambut baik keputusan itu, yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam menghormati hak rakyat Sabah sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sejak dari awal, BN sentiasa menjunjung kepentingan rakyat Sabah, memperteguh hak-hak yang termaktub dalam perjanjian dan perlembagaan, serta berusaha memastikan setiap komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap negeri ini dilaksanakan secara adil dan berakauntabiliti,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata BN akan terus konsisten memperjuangkan hak Sabah dan juga mana-mana negeri lain mengikut kerangka perundangan serta semangat Perlembagaan, demi memastikan Malaysia kekal stabil, makmur dan inklusif.
Beliau berkata BN turut mengambil maklum keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah, bagi memastikan pelaksanaan pemberian khas itu dapat direalisasikan dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan.
Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi tahun 1974 hingga hingga 2021.
Semalam, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Jemaah Menteri telah memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil, sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun, kerajaan akan merayu terhadap kecacatan dalam Alasan Penghakiman yang menyentuh dakwaan salah guna kuasa dan pelanggaran kewajipan perlembagaan melibatkan kedua-dua kerajaan sejak 1974.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial