AM > BERITA

MBJB Dan MBPG Perlu Urus Penyelenggaran Jalan, Lampu Dengan Baik - Tunku Mahkota Ismail

12/11/2025 11:49 PM

JOHOR BAHRU, 12 Nov (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini menitahkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) perlu memastikan kerja penyelenggaraan jalan, lampu jalan serta kemudahan awam diurus dengan baik.

Baginda bertitah orang ramai juga perlu dimaklumkan mengenai jangka masa bagi penyelesaian isu-isu berkenaan.

"Ini memandangkan terdapat banyak aduan berhubung lampu jalan yang tidak berfungsi dan masalah penyelenggaraan lain," titah baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi HRH Crown Prince of Johor.

Terdahulu Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Asman Shah Abd Rahman, Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan Datuk Bandar MBPG Datin Paduka Hazlina Jalil.

Sementara itu, Onn Hafiz menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan beliau telah turun padang bagi meninjau keadaan di Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) serta sekitar Persimpangan Rinting-Seri Alam, di sini susulan aduan yang diterima mengenai lampu jalan di laluan tersebut.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati masih terdapat beberapa lokasi utama yang lampu jalan tidak menyala dan hanya sebahagian berfungsi sekali gus boleh menjejaskan keselamatan pengguna khususnya di kawasan industri dan persimpangan utama pada waktu malam.

Justeru, beliau berkata pihak MBJB dan MBPG serta konsesi terlibat telah diarahkan untuk mengemukakan laporan lengkap dan mengambil tindakan segera bagi menggantikan atau membaiki lampu tersebut. 

"Penekanan turut diberikan kepada penambahbaikan pencahayaan di kawasan gelap dan berisiko tinggi," katanya.

Onn Hafiz turut menegaskan supaya penyelenggaraan berkala dilaksanakan secara lebih teratur dan berjadual agar isu lampu jalan rosak dapat dipantau serta dicegah daripada berulang. 

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memantau pelaksanaan pembaikan dan memastikan semua infrastruktur pencahayaan berada pada tahap terbaik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan