AM > BERITA

MOTAC Harap Tindakan Segera Diambil Memperindah Lokasi Tumpuan Pelancong

13/11/2025 12:46 AM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan segera dalam aspek pengindahan kawasan tumpuan pelancong, bagi memastikan imej Kuala Lumpur kekal menarik dan bersedia menerima kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata perkara itu termasuk pembaikan laluan pejalan kaki, pencahayaan serta mengecat semula bangunan atau kemudahan yang pudar, bagi mengekalkan keindahan kawasan tarikan pelancong seperti di Little India, Brickfields dan Jalan Alor, di sini.

“Isu-isu kecil seperti lampu yang malap atau simen pecah tidak boleh dibiarkan terlalu lama, kerana akhirnya ia akan merosakkan pemandangan dan membahayakan pelancong.

“Walaupun kecil, apabila tular di media sosial, ia boleh menjejaskan imej kita,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri sesi tinjauan mesra bersama Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur (KLTA) di sekitar Little India dan Jalan Alor, Bukit Bintang malam ini. Turut hadir Presiden KLTA Azhar Nadzir.

Program tinjauan mesra itu bertujuan menilai tahap kebersihan, penyelenggaraan dan daya tarikan pelancongan di kawasan tumpuan utama di ibu negara, selain mendapatkan input secara langsung daripada komuniti setempat dan peniaga, mengenai cabaran yang dihadapi mereka.

Shaharuddin berkata antara perkara yang dibangkitkan wakil industri dan peniaga ialah keperluan memperindah laluan pelancong, membaiki lampu yang tidak berfungsi serta memperbaharui cat yang telah pudar, selain menambah baik kemudahan seperti tempat rehat dan papan tanda pelancongan.

Beliau berkata MOTAC turut menyediakan bantuan kewangan kepada PBT bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan, dengan peruntukan berjumlah RM80 juta diagihkan di seluruh negara tahun ini, untuk membaik pulih kemudahan di kawasan tumpuan pelancong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan