AM > BERITA

MCMC Lawat 359 Premis Peranti Komunikasi, Beri Penerangan Tentang Keperluan Label MCMC

14/11/2025 10:29 AM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) --  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melawat 359 premis peranti komunikasi di seluruh negara bagi memberikan penerangan kepada pemilik serta petugas kedai tentang keperluan pemerakuan dan label MCMC pada peranti komunikasi.

Menurut kenyataan MCMC hari ini, lawatan berkenaan dijalankan di bawah program “Direct Engagement” dari Jun 2024 hingga November 2025.

“Tindakan ini akan membantu mereka memahami langkah yang diambil bertujuan untuk memastikan peranti adalah selamat, asli, mematuhi standard serta serasi dengan rangkaian dan tidak mengganggu frekuensi,” menurut MCMC.

Maklum balas yang diterima daripada peniaga sepanjang pelaksanaan aktiviti itu adalah sangat positif dan mereka telah menyatakan komitmen, menyambut baik pendekatan turun padang MCMC dan akan mematuhi keperluan pemerakuan serta pelabelan peranti komunikasi seperti yang telah ditetapkan.

Usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MCMC untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin serta memelihara integriti rangkaian komunikasi negara dengan memastikan hanya kelengkapan komunikasi yang mematuhi standard dijual di pasaran.

MCMC turut mengingatkan pengguna agar hanya membeli peranti yang diperakui dan mempunyai label MCMC.

Untuk memudahkan semakan status pemerakuan, pengguna digalakkan menggunakan aplikasi Check Your Label (CYL) yang boleh dimuat turun melalui Apple App Store atau Google Play Store. 

Pengguna hanya perlu memasukkan nombor Label ID MCMC, nombor IMEI atau nombor siri bagi mendapatkan status pemerakuan dan maklumat peranti untuk memastikan produk berkenaan sah serta mematuhi standard yang ditetapkan. 

“Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cyl.gov.my,” menurut MCMC.

Perbuatan menjual atau menggunakan peranti tanpa kelulusan atau label MCMC ialah satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan