AM > BERITA

Monsun Timur Laut Berterusan Hingga Mac Depan - MetMalaysia

14/11/2025 11:51 AM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula semalam dijangka berterusan hingga Mac tahun depan dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang menjadi negeri terawal diramal mengalami hujan lebat berterusan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia Ambun Dindang berkata monsun yang bergerak dari utara ke selatan itu lazimnya memberikan kesan awal kepada tiga negeri berkenaan bermula November hingga Disember, sebelum menjangkaui Pahang dan Johor pada fasa seterusnya.

“Apabila memasuki Disember dan Januari, hujan berterusan dijangka tertumpu di selatan Terengganu, Pahang dan Johor. Sabah dan Sarawak juga berpotensi menerima kesan bergantung kepada pergerakan monsun,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.

Beliau berkata pemantauan dilakukan secara berterusan melalui imej satelit selang 10 minit selain 19 radar cuaca di seluruh negara bagi mengesan pembentukan awan hujan serta luruan monsun yang menjadi faktor utama taburan hujan lebat.

“Luruan monsun ialah tiupan angin kencang dari Laut China Selatan yang mengumpulkan kelembapan sebelum menghasilkan hujan berterusan satu hingga tiga hari. Inilah yang sering mencetuskan banjir,” katanya.

Selain itu, MetMalaysia turut memantau kawasan tekanan rendah yang boleh meningkatkan hujan, serta fenomena global seperti La Nina, El Nino, Indian Ocean Dipole (IOD) dan Madden-Julian Oscillation (MJO).

Mengulas mengenai keadaan taufan Fung Wong yang melanda Filipina dan Vietnam pada awal November ini, beliau berkata taufan itu tidak memberikan kesan secara langsung kepada Malaysia, namun Sabah menerima sedikit tempias dengan mengakibatkan keadaan laut bergelora di Laut China Selatan.

“Taufan Kalmaegi sebelum ini bergerak sedikit ke bawah dan memberikan kesan kepada Sabah. Taufan Fung Wong pula bergerak lebih ke utara, jadi kesan kepada Malaysia tidak signifikan. Namun, Laut China Selatan masih bergelora dan amaran laut telah dikeluarkan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya di kawasan berisiko banjir supaya peka dengan maklumat semasa dan mendapatkan amaran terkini melalui aplikasi MyCuaca, laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan