KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Usaha Malaysia menggubal Akta Kebebasan Maklumat (FOI) buat julung-julung kalinya itu menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh ketelusan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus yang baik.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Zamri Misman berkata ulang tahun ke-10 penetapan 28 Sept oleh UNESCO sebagai Hari Antarabangsa Akses Kepada Maklumat (IDUAI) tahun ini menandakan sedekad kemajuan dan cabaran memperluas hak mendapatkan maklumat..
Beliau berkata ia sekali gus menjadikan usaha reformasi Malaysia amat bertepatan pada masanya dan signifikan.
“FOI bukan sekadar satu reformasi undang-undang, ia kontrak sosial dan bukan sesuatu yang mudah.
“Ia memperkasakan rakyat, membantu mereka membuat keputusan berasaskan maklumat, mengambil bahagian secara bermakna serta mendukung institusi yang bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Meja Bulat mengenai FOI di Malaysia bersempena dengan IDUAI.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi William Leong Jee Keen serta Pengarah Eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ) Wathshlah Naidu.
Zamri berkata pada 17 Okt lepas, Jemaah Menteri bersetuju Rang Undang-Undang FOI dan Rang Undang-Undang Ombudsman, yang dirangka untuk saling melengkapi ditangguhkan ke awal 2026 bagi membolehkan penelitian lanjut serta memberikan masa yang mencukupi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menyemak kedua-dua draf berkenaan.
“Laluan menuju ketelusan sudah tentu berliku, berubah-ubah sifatnya, mencabar, namun ia juga mencetuskan inspirasi kepada dunia. Ketika bersama-sama meneruskan usaha ini, ingatlah bahawa kebebasan maklumat bukan sekadar akses kepada dokumen. Ia juga usaha bagi memartabatkan demokrasi,” katanya.
Beliau berkata BHEUU menjalankan tujuh sesi libat urus di seluruh negara sepanjang 2024, melibatkan lebih 1,500 peserta daripada agensi kerajaan, akademia, masyarakat sivil dan pakar antarabangsa.
Sementara itu, William berkata PSSC komited memastikan pelaksanaan usaha FOI berasaskan konsultasi yang terbuka dan inklusif.
“Kami di sini untuk memperjuangkan konsultasi terbuka dan inklusif, khususnya mengenai mekanisme pemantauan pelaksanaan FOI dan penyeliaannya, serta menggalakkan reformasi pelengkap terhadap undang-undang dan institusi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial