PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan segera membaik pulih tiga institusi pendidikan di bawahnya yang terlibat dalam insiden kebakaran baru-baru ini.
Dalam kenyataan hari ini KPM memaklumkan ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit di Perlis, serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan 3 dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Sungai Lang di Selangor.
“Tindakan segera telah diambil untuk menyiasat punca kejadian dan melakukan penilaian kerosakan terhadap infrastruktur sekolah yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
KPM turut mengingatkan semua pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah, dan jabatan pendidikan negeri untuk memastikan fasiliti sekolah di seluruh negara berada dalam keadaan selamat.
“Aspek keselamatan dan kesejahteraan murid, guru, dan seluruh warga sekolah perlu diberi keutamaan,” menurut KPM.
Pada Khamis lepas, sebuah bangunan lapan bilik darjah di SK Padang Melangit di Padang Besar, musnah hampir 90 peratus akibat kebakaran.
Insiden sama turut berlaku di stor peralatan sukan SMK Jalan 3 di Bangi serta di bilik guru SBP Integrasi Sungai Lang, Sabak Bernam, awal pagi tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial