AM > BERITA

96.02 Peratus Calon UPSRA 2025 Di Wilayah Persekutuan Lulus

14/11/2025 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) 2025 di Wilayah Persekutuan mencatat 96.02 peratus kadar kelulusan keseluruhan, meningkat 1.63 peratus berbanding tahun lepas.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Kamaldin Mohd Damin berkata sebanyak 9,410 calon dari 215 institusi berdaftar bagi peperiksaan itu tahun ini dengan 9,327 calon hadir dan 83 tidak hadir, menunjukkan peningkatan penyertaan berbanding 8,555 calon pada 2024.

“Secara keseluruhan, Gred Purata Skor (GPS) UPSRA 2025 ialah 1.86 dengan peningkatan 1.36 peratus bagi kelulusan keseluruhan berbanding tahun lalu.

“Dari segi kecemerlangan, sebanyak 812 calon memperoleh 9 Mumtaz (cemerlang) bersamaan 8.71 peratus daripada jumlah calon, berbanding 911 calon atau 10.72 peratus pada 2024,” katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini hari ini.

Kamaldin berkata UPSRA 2025 merangkumi sembilan mata pelajaran iaitu Al-Quran dan Hafazan, Bahasa Arab, Jawi Khat, Feqah, Akhlak, Tauhid, Tajwid, Sirah dan Projek Berasaskan Sekolah (PBS).

Beliau berkata PBS mencatatkan kadar kelulusan tertinggi iaitu 100 peratus, diikuti Al-Quran dan Hafazan (99.97 peratus) dan Tajwid (98.15 peratus), manakala Feqah, Tauhid dan Sirah menunjukkan peningkatan ketara masing-masing  5.25 peratus, 4.20 peratus dan 4.98 peratus.

Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Saidina Uthman bin Affan diumumkan sebagai Institusi Pendidikan Islam Terbaik Keseluruhan, manakala Muhammad Muadz Mohd Fathullah dari SIRAJ Abdullah Ibnu Mas‘ud dan Ayesha Humairah Mohd Naseem dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Furqan, masing-masing dinobatkan murid terbaik keseluruhan lelaki dan perempuan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan