AM > BERITA

Belanjawan 2026: Selangor Peruntuk RM15 Juta Bagi Rancakkan Program Pelaburan

14/11/2025 05:22 PM

SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor memperuntukkan RM15 juta menerusi Belanjawan Selangor 2026 bagi memastikan program-program pelaburan berjalan dengan lebih rancak sekali gus menyumbang kepada keseimbangan pembangunan ekonomi. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata program berkenaan ialah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), Selangor Soft Landing Programme, Selangor Lab Partnership dan SME-Investors Linkages

Beliau berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Selangor telah berjaya merekodkan pelaburan yang lebih tinggi dari segi jumlah projek berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

"Sebanyak 948 jumlah pelaburan telah diluluskan dari Januari hingga Jun 2025 dengan nilai RM34.65 bilion berbanding 897 projek berjumlah RM35.86 bilion pada 2024. 

"Selain itu, 31,886 peluang pekerjaan telah diwujudkan hasil daripada projek-projek yang diluluskan," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 bertemakan “Selangor Juara, Rakyat Sejahtera”, di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata program SIBS tahun ini berjaya mencapai nilai transaksi tertinggi sebanyak RM8.17 bilion lebih tinggi daripada penganjuran tahun lepas, iaitu RM13.86 bilion yang merupakan nilai terkumpul dari dua siri penganjuran pada 2024. 

Beliau berkata selain daripada penganjuran SIBS di dalam negara, Invest Selangor akan mengusahakan strategi baharu dengan membawa SIBS ke negara-negara lain di rantau ASEAN yang mempunyai kapasiti untuk membawa manfaat perniagaan kepada industri di Selangor.

“Sekiranya dapat direalisasikan, tindakan proaktif ini akan membuka potensi lonjakan baharu secara dua hala iaitu syarikat Selangor yang mampu melabur di luar dan syarikat luar yang ingin bertapak di sini,” katanya. 

Berhubung Selangor Soft Landing Programme, Amirudin berkata ia telah berjaya membawa masuk 13 syarikat pelabur manakala Selangor Lab Partnership yang telah menerima penyertaan enam syarikat dalam bidang sains hayat akan diteruskan pada 2026.

Beliau berkata tambahan kepada itu, Invest Selangor akan mengusahakan program SME-Investors Linkages, inisiatif baharu untuk menghubungkan syarikat tempatan dengan pelabur asing. 

“Ini supaya syarikat-syarikat tempatan mendapat akses pasaran yang lebih luas di luar negara serta mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai untuk jangka masa panjang," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan