AM > BERITA

Selangor Bangunkan Pelan Induk Dark Fiber Network, Teroka Pendapatan Baharu

14/11/2025 05:59 PM

SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan membangunkan pelan induk Selangor Dark Fiber Network melalui anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), dan Smartsel Sdn Bhd  untuk meneroka hasil pendapatan baharu. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata jaringan sepanjang 889 kilometer itu bakal mengupayakan Selangor untuk memiliki rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta menerusi Belanjawan Selangor 2026 bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata projek terbabit dengan jangkaan kos pembangunan berjumlah RM267 juta dianggarkan mampu memberikan pulangan sebanyak RM196 juta dalam tempoh lima tahun. 

“Penyediaan sistem ini akan dibuat secara akses terbuka agar mengurangkan kerja-kerja pengorekan yang boleh menyebabkan gangguan akses kepada perkhidmatan.

“Selain daripada manfaat fiskal, Selangor Dark Fiber Network akan memperluas akses digital dan mengurangkan jurang digital di antara kawasan bandar dan separa bandar,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini. 

Mengulas mengenai langkah peningkatan hasil lain seperti Caj Abstraksi Air dan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP), Amirudin berkata setakat tahun ini kerajaan negeri masing-masing berjaya mengutip lebih RM30 juta bagi kedua-dua inisiatif terbabit. 

“Hingga Oktober 2025, kerajaan negeri telah menerima RM33.61 juta daripada sasaran RM70 juta bagi caj abstraksi air dan kutipan caj ini akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat Selangor dalam menikmati kualiti air lebih baik.

“Bagi hasil Dasar Pelepasan Sifar pula, kerajaan kegeri telah menerima melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) lebih dari RM35 juta pada tahun ini,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan negeri bakal menggunakan hasil Caj Abstraksi Air untuk peningkatan kualiti air, manakala bagi ZDP kerajaan negeri akan menambah baik Enakmen LUAS (1999) bagi membolehkan pendapatan daripada bayaran ZDP dimasukkan terus ke Akaun Hasil Disatukan dan menjadi hasil langsung negeri.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan