PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir diumumkan sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa esok hingga 14 Nov 2027.
Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Fadlun Mak Ujud yang dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan Mohd Sakeri mengambil kira pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan awam serta kepakaran dalam bidang pembangunan dan dasar strategik.
Beliau berkata Mohd Sakeri mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang dalam pelbagai portfolio pembangunan di peringkat nasional, selain mempamerkan kepimpinan strategik yang kukuh.
"Dengan rekod prestasi cemerlang dalam bidang pengurusan dan pembangunan, beliau diyakini mampu menerajui PPj ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi," katanya.
Shamsul Azri berkata pelantikan itu dijangka memperkukuh lagi usaha menjadikan Putrajaya sebagai bandar pintar, hijau dan berdaya huni, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Mohd Sakeri, 56, sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) di Kementerian Kerja Raya.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi Matematik) dari Temple University, Amerika Syarikat, serta Sarjana Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial