KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Usaha menaik taraf Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Butterworth diyakini dapat meningkatkan pengalaman pengguna seiring dengan matlamat negara ke arah sistem pengangkutan awam bertaraf dunia.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan) Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata inisiatif ini selaras dengan hala tuju KTMB untuk memperkukuh jaringan perkhidmatan rel yang lebih selesa, mudah diakses dan bersepadu dengan sistem pengangkutan lain.
Beliau berkata Stesen Butterworth mempunyai peranan strategik sebagai pintu masuk utama ke utara Semenanjung, menghubungkan pengguna dari seluruh negara ke Pulau Pinang melalui pelbagai mod pengangkutan darat dan laut.
“KTMB menyambut baik pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengenai peruntukan RM30 juta bagi kerja-kerja menaik taraf Stesen KTM Butterworth, Pulau Pinang.
“Naik taraf ini bukan sahaja meningkatkan imej perkhidmatan rel di wilayah utara, malah mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai antara negeri terkehadapan dalam pembangunan hab mobiliti moden dan mampan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 Nov lepas, Loke mengumumkan Kementerian Pengangkutan akan menaik taraf Stesen KTMB Butterworth dengan peruntukan RM30 juta bagi menjadikan Penang Sentral hab pengangkutan utama di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Setakat Oktober lepas, Stesen Butterworth merekodkan 1.2 juta penumpang Komuter Utara dan 497,726 penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang menggunakan stesen itu sebagai destinasi pilihan mereka.
Seiring dengan usaha meningkatkan keselesaan pelanggan, KTMB turut memperkenalkan Ruby Lounge di Stesen Butterworth pada Jun lepas sebagai ruang menunggu eksklusif dengan kemudahan tambahan bagi meningkatkan pengalaman pengguna, khususnya penumpang ETS.
“Antara aspek utama naik taraf lain ialah kemudahan penumpang yang lebih mesra pengguna, integrasi sistem tiket dan akses, ruang menunggu serta kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus menyokong peranan Stesen Butterworth sebagai hab sambungan utama antara perkhidmatan ETS, Komuter Utara, tren barang, feri serta terminal bas berdekatan.
“Naik taraf Stesen Butterworth mencerminkan kesungguhan bersama untuk menjadikan rel sebagai tunjang sistem mobiliti masa depan negara yang lebih hijau, efisien dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata KTMB komited bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, kerajaan Pulau Pinang, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) serta agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar dan memberikan manfaat maksimum kepada rakyat.
KTMB ialah pengendali perkhidmatan pengangkutan rel negara di sepanjang 1,655 kilometer rangkaian kereta api dengan 84 stesen dan 68 perhentian di seluruh Semenanjung Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial