AM > BERITA

Nanta Jalankan Tugas, Fungsi Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi

02/12/2025 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, berkata keputusan itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat pada Jumaat lepas.

“Kerajaan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh YB (Yang Berhormat) Datuk Ewon Benedick, Ahli Parlimen Penampang, sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ewon, yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri Kabinet bulan lepas.

Ewon berkata keputusan itu dibuat untuk memberi tumpuan kepada urusan politik di Sabah dan memperkukuh kedudukan UPKO dalam landskap politik negeri tersebut.

Sementara itu, Nanta menerusi hantaran di Facebook merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

Di samping menjalankan tugas sebagai Menteri Kerja Raya, beliau berkata pelantikan itu akan digalas dengan penuh komitmen bagi memastikan kesinambungan operasi serta kelancaran fungsi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Pada masa sama, Nanta merakamkan penghargaan atas segala sumbangan Ewon sepanjang menerajui KUSKOP.

“Saya komited untuk memastikan kerja-kerja kementerian berjalan dengan teratur dan dasar yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan demi manfaat usahawan, PKS (perusahaan kecil dan sederhana), koperasi dan rakyat secara keseluruhan.

“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua agensi, rakan industri dan pemegang taruh bagi memastikan kelancaran pentadbiran KUSKOP sepanjang tempoh saya menjalankan tugas ini,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan