AM > BERITA

CMA Berpotensi Tingkat Permintaan Getah, Bantu Pekebun Kecil - Ahmad Maslan

02/12/2025 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Penggunaan teknologi Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan atau Cuplump Modified Asphalt (CMA) yang mencampurkan getah beku dalam asfalt berpotensi meningkatkan permintaan getah tempatan, sekali gus membuka peluang ekonomi lebih besar kepada pekebun kecil, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Dr Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata teknologi itu menggunakan lima tan getah beku bagi setiap satu kilometer turapan, menjadikannya antara inisiatif yang boleh merancakkan penggunaan bahan mentah tempatan sekiranya diperluaskan secara menyeluruh.

“Saya bersetuju jika teknologi ini dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negara untuk membantu pekebun kecil getah dan industri getah negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Maslan menjawab pertanyaan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai tahap keberhasilan CMA sebagai alternatif kepada teknologi turapan sedia ada.

Beliau berkata sebanyak 216.8 kilometer turapan CMA telah dilaksanakan di laluan Persekutuan antara 2018 hingga 2025, melalui 142 arahan kerja oleh syarikat konsesi Jalan Persekutuan di Semenanjung.

Beliau berkata penilaian selama 38 bulan di empat lokasi Persekutuan iaitu Tampin, Baling, Temerloh dan Kota Bharu menunjukkan turapan CMA berada pada tahap memuaskan dari segi pembentukan alur dan ketahanan terhadap keretakan.

“Keputusan ini membuktikan bahawa bahan berkenaan mempunyai potensi besar untuk digunakan dalam pembinaan jalan raya,” katanya.

Teknologi itu dibangunkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan dinilai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREATE). Kajian mendapati turapan CMA mampu bertahan sehingga lima tahun, iaitu dua kali lebih lama berbanding turapan bitumen biasa.

Ahmad Maslan berkata kerajaan kini menilai tiga teknologi tempatan bagi kegunaan lebih meluas dalam kerja-kerja turapan, iaitu CMA, Modified Binder berasaskan plastik terpakai oleh Petronas serta Crumb Rubber Modified Asphalt (CRMA) yang menggunakan getah kitar semula seperti tayar terpakai.

“Inisiatif ini bukan sahaja mendorong inovasi teknologi tempatan malah menyumbang kepada penjagaan alam sekitar melalui penggunaan bahan kitar semula dan getah asli,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan