AM > BERITA

Akta A1779 Diwartakan, Skop Kawalan Tenaga Atom Diperluas

02/12/2025 03:19 PM

PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 yang diluluskan telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 20 Nov lepas dan telah diwartakan sebagai Akta Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 [Akta A1779] pada 28 Nov.

Akta A1779 itu telah ditetapkan untuk mula berkuat kuasa bagi sebahagiannya bermula pada 1 Dis 2025 dengan memperkenalkan beberapa pembaharuan dalam kerangka perundangannya termasuk perubahan nama akta yang sedia ada kepada nama baharu, iaitu Akta Tenaga Atom 1984 [Akta 304].

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Akta A1779 memperkukuh dan menambah baik kerangka perundangan bagi kawalan dan kawalseliaan aktiviti tenaga atom, untuk perlindungan yang mencukupi bagi pekerja, orang ramai dan alam sekeliling daripada risiko penggunaan tenaga atom, keselamatan dan sekuriti bahan radioaktif serta bahan nuklear.

Akta itu juga memperuntukkan pemakaian langkah yang relevan untuk kawal guna dan liabiliti bagi kerosakan nuklear, dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan.

“Melalui Akta Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 ini, skop kawalan dan kawalseliaan aktiviti tenaga atom diperluas bagi merangkumi aspek keselamatan (safety), sekuriti (security) dan kawal guna (safeguards), iaitu ke arah perundangan nuklear yang komprehensif selaras dengan piawaian dan amalan terbaik antarabangsa,” menurut MOSTI.

Peluasan skop itu juga selaras dengan instrumen antarabangsa yang berkaitan dengan tenaga atom dan sebagai langkah persediaan negara ke arah menandatangani dan meratifikasi instrumen antarabangsa berkaitan tenaga atom.

Menurut MOSTI, akta itu akan dikuat kuasa secara berperingkat, iaitu peruntukan mengenai permit, jaminan kewangan bagi lesen, Kumpulan Wang Sisa Radioaktif dan kompaun kesalahan akan berkuat kuasa setelah selesai penggubalan peraturan berkaitan.

“Jabatan Tenaga Atom komited menguatkuasakan Akta A1779 bagi memastikan aspek keselamatan, sekuriti dan kawal guna aktiviti tenaga atom sentiasa diberi keutamaan tinggi bagi melindungi pekerja, orang ramai dan alam sekitar serta menjaga kepentingan negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan