AM > BERITA

Suria KLCC Mempersembahkan 'A Majestic Christmas'

02/12/2025 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Suria KLCC menjemput rakyat Malaysia ke sambutan A Majestic Christmas menampilkan pokok Krismas bertingkat setinggi 80 kaki serta Festive Outdoor Skating Rink pertama di Malaysia yang diiktiraf Malaysia Book of Records.

Sambutan yang berlangsung sejak 22 Nov hingga 4 Jan 2026 itu mengubah pusat beli-belah berkenaan menjadi sebuah alam fantasi perayaan sempena Krismas menggabungkan hiasan menawan dengan pengalaman interaktif mempersonakan.

Suria KLCC dalam kenyataan memaklumkan pengalaman magis Krismas bermula di Centre Court dengan tumpuan utama adalah pokok Krismas bertingkat dihiasi rapi dengan lampu dan aksesori perayaan diiringi latar belakang lampu interaktif dan alunan melodi ceria.

“Di bahagian tengah struktur ini terletak Mirror Room, sebuah bilik imersif menampilkan panel pantulan yang mencipta ilusi visual penuh kilauan, sesuai untuk foto menarik di media sosial. Mirror Room turut diserikan haruman elegan daripada Lancome.

“Melengkapkan lagi keindahan Centre Court ialah Interactive Music Box. Pengunjung boleh memilih lagu klasik percutian kegemaran daripada enam pilihan lagu, mencetuskan melodi ceria dan gemerlapan lampu yang diselaraskan serentak dengan lagu dipilih. Pengalaman ini disempurnakan dengan Festive Photobooth menawarkan foto bercetak dan digital secara percuma,” menurutnya.

Sementara itu, Suria KLCC memaklumkan Festive Skating Rink dibina mengelilingi pokok Krismas berkembar, menawarkan detik tidak dapat dilupakan dengan latar belakang pemandangan ikonik Menara Berkembar Petronas dan dibuka setiap hari sejak 26 Nov hingga 25 Dis ini.

Sepanjang sambutan hingga 4 Jan itu juga, Suria KLCC menawarkan ganjaran eksklusif dan aktiviti menarik termasuk pengalaman Festive Skating eksklusif untuk dua orang bagi mereka yang berbelanja RM500 ke atas dalam satu resit.

Bagi yang berbelanja RM2,500 ke atas dalam dua resit akan menerima baucar membeli-belah e-Voucher Suria KLCC bernilai RM100 serta Pengalaman Festive Skating, eksklusif untuk dua orang.

Suria KLCC juga menyediakan pelbagai program seperti Santa Claus Meet and Greet pada Sabtu terpilih pada 6, 13, 20 dan 25 Dis, selain program Christmas Carolling pada Ahad terpilih iaitu 7, 14, 21 dan 25 Dis.

Pengunjung juga boleh menyertai Christmas Wreath Workshops pada 6, 13, 20 dan 25 Dis dan merakam kenangan di Festive Photobooth.

Pengarah Eksekutif dan CEO Suria KLCC Sdn Bhd Francis Tan berkata sebagai destinasi ikonik di tengah-tengah Kuala Lumpur, Suria KLCC bukan sekadar pusat beli-belah, ia adalah tempat kenangan dicipta dan pengalaman dikongsi.

“Tahun ini, tema Majestic Krismas kami, yang diserlahkan oleh pokok Krismas yang menakjubkan dan First Outdoor Skating Rink in Malaysia direka untuk memberikan pengalaman percutian bertaraf dunia yang tidak dapat dilupakan, yang membawa kegembiraan dan kebersamaan kepada semua pengunjung kami,” katanya.

Selain Suria KLCC, sambutan Krismas turut diadakan di Pusat Beli-Belah Alamanda di Putrajaya sehingga 4 Jan 2026, dengan Centre Court pusat beli-belah itu juga menampilkan hiasan perayaan dan pokok Krismas bertingkat, di samping gerbang berlampu.

Pusat beli-belah itu turut menganjurkan persembahan tarian Krismas, balet kanak-kanak dan pertunjukan silap mata pada setiap hujung minggu, Santa’s visit pada 25 Dis dan bengkel kreatif VIKids seperti sesi kraf dan menghias donat untuk kanak-kanak.

Pembeli yang berbelanja RM500 dan ke atas dalam dua resit turut akan menerima baucar membeli-belah e-Voucher Alamanda bernilai RM30 manakala mereka yang berbelanja RM1,500 dan ke atas akan menikmati baucar membeli-belah e-Voucher Alamanda bernilai RM80.

Selaras inisiatif kesihatan mental Suria KLCC Group, Alamanda juga akan menjalankan jualan Green Ribbon Pin berharga RM10 setiap satu dengan semua hasil akan disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan kesihatan mental.

Di Mesra Mall Kemaman pula, sambutan Krismas akan berlangsung pada 5 hingga 31 Dis dengan mempamerkan pokok Krismas yang didekorasi karusel kuda, selain aktiviti seperti Bengkel Creative Succulent Workshop, Snowflakes Workshop serta Karnival VIKids pada 25 hingga 29 Dis bagi memeriahkan sambutan.

Bagi 500 pelanggan pertama yang berbelanja RM350 dan ke atas dalam maksimum dua resit pula, mereka boleh menebus Two-Tiered Dessert Display Rack eksklusif.

Maklumat lanjut mengenai kempen Krismas boleh didapati di laman web dan sosial media Suria KLCC www.suriaklcc.com.my dan www.facebook.com/SuriaKLCCMall, Alamanda www.alamanda.com.my dan www.facebook.com/AlamandaShoppingCentre dan MesraMall www.mesramall.com serta www.facebook.com/MyMesraMall

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan