AM > BERITA

Kuota Subsidi Minyak Nelayan Kekal 70 Juta Liter Sebulan Hingga Jun 2026

02/12/2025 05:35 PM

PUCHONG, 2 Dis (Bernama) -- Kerajaan bersetuju untuk mengekalkan kuota Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan sebanyak 70 juta liter sebulan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak.

Isham berkata perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat berhubung pengurusan subsidi minyak untuk nelayan yang diadakan di KPKM hari ini.

Beliau berkata pengekalan kuota berkenaan dapat memastikan kerajaan terus menyokong para nelayan, termasuk dalam menghadapi cabaran serta isu-isu yang sering dibangkitkan dalam sesi libat urus yang telah dilaksanakan di seluruh negara tahun ini, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Mengikut data sistem e-Nelayan dan e-Pendaratan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), setiap liter diesel bersubsidi mampu mendaratkan hampir 0.9 kilogram ikan, manakala setiap ringgit subsidi petrol pula menghasilkan kira-kira dua kilogram ikan sekali gus menunjukkan impak langsung bantuan itu kepada hasil tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani ‘Integrity Pact’ bagi pembekal, pemborong dan peruncit skim itu di Ibu Pejabat LKIM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Isham berkata bahawa bermula Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 532 juta liter diesel bersubsidi bernilai RM665 juta telah diagihkan kepada 10,330 pemilik vesel di seluruh negara, manakala pada tahun lepas sebanyak 688 juta liter dengan nilai lebih RM1.06 bilion telah disalurkan.

“Dengan jumlah yang besar itu, pengurusan penyaluran diesel dan petrol bersubsidi memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan tidak berlaku ketirisan yang akan menjejaskan hak nelayan yang benar-benar layak mendapat bantuan,” katanya.

Pada majlis hari ini, Isham menyaksikan penandatanganan ikrar integriti oleh wakil lima syarikat pembekal yang dilantik untuk membekalkan minyak bersubsidi di bawah skim berkenaan, iaitu Petronas Dagangan Bhd, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Chevron Malaysia Sdn Bhd, Petron Malaysia Refining & Marketing Sdn Bhd dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd.

Tiga pemborong yang bertanggungjawab menguruskan tempahan minyak bersubsidi daripada pembekal turut menandatangani ikrar berkenaan, iaitu Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Persatuan Nelayan Negeri Sarawak dan Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan).

Turut hadir Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil dan Ketua Pengarah LKIM Hamdan Mamat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan