AM > BERITA

Jadikan Perpustakaan Rumah Kedua, Teladan Baik Anak-anak - Saraswathy

02/12/2025 06:11 PM

SHAH ALAM, 2 Dis (Bernama) -- Perpustakaan bukan sahaja menjadi pusat ilmu, malah boleh dijadikan rumah kedua untuk keluarga membina disiplin membaca, kreativiti serta nilai positif dalam diri anak-anak, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy.

Beliau berkata untuk itu, ibu bapa berperanan penting dalam membimbing anak-anak menjadikan perpustakaan sebagai tempat untuk membaca, berbincang dan menanam minat menulis, sekali gus mengeratkan ikatan kekeluargaan melalui aktiviti berfaedah bersama.

“Galakkan anak-anak datang ke perpustakaan secara kerap kerana ia bukan sahaja mengembangkan minda mereka tetapi juga menyatukan keluarga melalui aktiviti membaca, perbincangan dan penghayatan nilai.

“Pengalaman hadir ke perpustakaan secara fizikal memberikan kesan yang lebih mendalam kerana kanak-kanak dapat belajar sambil menghayati suasana sekeliling dan melihat rakan-rakan membaca,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran buku Amanda Rescues The Dino Egg hasil tulisan Aayushi Yogeswaran, 9, bersempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 bagi meraikan pencapaian penulis cilik itu dalam dunia penulisan.

Saraswathy berkata perpustakaan juga dapat membina disiplin membaca, meningkatkan kreativiti dan memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menanam minat menulis serta mengembangkan ilmu pengetahuan yang berguna pada masa hadapan.

“Setiap buku yang dibaca oleh kanak-kanak menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup dan ilmu yang membentuk pemikiran serta personaliti mereka.

“Perpustakaan bukan sekadar tempat belajar tetapi juga ruang untuk membina hubungan keluarga yang erat dan menanam minat membaca secara konsisten,” katanya.

Amanda Rescues The Dino Egg adalah buku ketiga Aayushi yang mula ditulis sejak berusia tujuh tahun dengan tujuan memberi inspirasi kepada kanak-kanak lain untuk menulis lebih banyak serta menghayati nilai keberanian, tanggungjawab dan berjiwa murni.

Buku baharu itu juga menekankan nilai-nilai penting dalam kehidupan dengan menunjukkan kanak-kanak boleh mencapai hasil yang luar biasa sekiranya diberi sokongan, motivasi dan peluang.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan