AM > BERITA

Tengku Zafrul Sahkan Bincang Dengan Perdana Menteri, Tunggu Keputusan Peranan Baharu

02/12/2025 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kesediaannya untuk terus berkhidmat walaupun tugasnya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Indsutri berakhir hari ini, susulan tamat tempoh sebagai senator.

Tengku Zafrul berkata beliau juga sentiasa bersedia menyokong pentadbiran kerajaan dalam apa-apa jua bentuk peranan, sementara menantikan pengumuman rasmi mengenai kedudukan beliau selepas ini.

“Saya rasa perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet. Perdana Menteri memaklumkan kepada Kabinet bahawa itu merupakan mesyuarat Kabinet terakhir saya dan saya fikir Datuk Fahmi Fadzil (Jurucakap Kerajaan MADANI) telah menyatakan dengan tepat bahawa saya akan mempunyai peranan untuk menyokong kerajaan.

“Saya akui ada berbincang dengan Perdana Menteri sebelum ini, dan saya nyatakan kesediaan untuk membantu dalam apa juga kapasiti bagi menyokong kerajaan dan negara. Namun saya tidak tahu apa yang telah diputuskan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama Kelab Concorde di Wisma Bernama di sini hari ini.

Sesi “Farewell MITI, Hello New Horizons”, dikendalikan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama). Kelab Concorde merupakan kumpulan tidak rasmi yang menghimpunkan editor kanan dari organisasi media tempatan dan antarabangsa.

Semalam, Anwar berkata Tengku Zafrul akan diberikan jawatan baharu dan perkara itu diumumkan esok.

Fahmi, dalam sidang media mingguan Jumaat lepas berkata Perdana Menteri telah memberi indikasi bahawa Tengku Zafrul akan terus berkhidmat dengan kerajaan dalam kapasiti lain.

Tengku Zafrul, yang telah berkhidmat sebagai Senator selama dua penggal sejak 2020, iaitu tempoh maksimum yang dibenarkan, menamatkan enam tahun perkhidmatannya di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyatakan komitmen untuk memainkan peranan lebih aktif dalam sukan badminton pada masa depan.

Beliau akan untuk terus menyokong pemain negara, termasuk dalam kejohanan-kejohanan utama bakal berlangsung, antaranya Sukan SEA 2025 di Thailand bulan ini.

“Saya akan ke Sukan SEA. Pada Khamis ini, saya akan hantar pemain negara berlepas ke Sukan SEA. Saya akan pergi pada hujung minggu kerana saya yakin beberapa pemain kita akan mara ke final Sukan SEA. Final dijangka berlangsung pada 14 Dis, jadi saya berharap dapat berada di sana,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan