AM > BERITA

Lima Dekad Berkhidmat, Peguam Berusia 86 Tahun Genggam PhD Di USM

02/12/2025 06:38 PM

GEORGE TOWN, 2 Dis (Bernama) -- Pada usia ketika ramai memilih untuk berehat Datuk Dr G. Rethinasamy, 86, sebaliknya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) sekali gus membuktikan komitmen terhadap pendidikan dan khidmat masyarakat tidak pernah luntur meskipun pada usia emas.

Beliau yang mengendalikan firma guamannya di Butterworth, terus aktif menerima pelanggan dan membantu masyarakat setempat khususnya golongan berpendapatan rendah yang memerlukan khidmat guaman asas itu menerima PhD pada konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Rethinasamy berkata sikapnya menerima semua pelanggan tanpa janji temu serta tidak mengenakan bayaran bagi sesi konsultasi awal ialah prinsip kerja yang dipegang sejak puluhan tahun lepas terutama apabila berhadapan dengan mereka yang kesempitan hidup.

"Jika saya yakin boleh membantu menyelesaikan masalah mereka, barulah saya buka fail. Ramai antara mereka orang susah, jadi saya selesaikan kerja dahulu sebelum mengambil sedikit bayaran,” katanya ketika ditemui selepas menerima skrol di USM di sini hari ini.

Beliau berkongsi bahawa terpaksa menamatkan persekolahan tingkatan enam lebih awal selepas tujuh bulan apabila ayahnya kehilangan pekerjaan, memaksanya menyara keluarga pada usia muda.

Rethinasamy berkata s​​​​​​ituasi itu membawa beliau ke bidang kejururawatan pada 1959 dan berkhidmat di beberapa hospital sebelum menyambung pengajian di Lincoln’s Inn, United Kingdom berikutan minat yang mendalam terhadap undang-undang.

Selepas kembali ke tanah air, beliau menubuhkan firma guaman sendiri pada 1975 dan berkhidmat kepada masyarakat selama hampir lima dekad.

Selain aktif dalam dunia guaman, ayah kepada empat cahaya mata itu turut memainkan peranan dalam pembangunan komuniti sebagai antara pemaju terawal yang membangunkan projek perumahan kos rendah di Pulau Pinang, termasuk pembinaan 265 unit pangsapuri kos rendah di Tasek Gelugor pada 1989 hingga 1990 dengan harga jualan kurang RM50,000.

Dalam penyelidikan PhD, Rethinasamy meneliti hubungan antara pihak berkuasa perancangan dan pemaju perumahan serta proses perancangan yang mempengaruhi kos pembinaan rumah mampu milik.

Rethinasamy berkongsi rahsia aktif pada usia 86 tahun dengan melakukan senaman harian bagi mengekalkan kesihatan selain meluangkan masa menjaga kucing jalanan di sekitar kawasan kediamannya setiap hari.

Konvokesyen yang berlangsung dari 25 Nov hingga hari ini itu menyaksikan 9,347 graduan menerima skrol termasuk 865 (PhD), 3,501 (Sarjana), 4,934 (Sarjana Muda), 47 (Diploma Kejururawatan) serta seorang penerima Ijazah Kehormat.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan