AM > BERITA

Dewan Rakyat Lulus RUU Rukun Tetangga (Pindaan) 2025

02/12/2025 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Rukun Tetangga (Pindaan) 2025, antaranya bertujuan memperkemas peruntukan Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751) sedia ada.

RUU yang dibentangkan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Aaron ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata pindaan berkenaan penting bagi memperkukuh  peranan dan fungsi Rukun Tetangga (RT) yang berkembang daripada tugasan sebagai neighbourhood watch dan keselamatan kepada aktiviti yang turut menjana kegiatan ekonomi setempat.

Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan memaklumkan pindaan berkenaan ialah satu langkah strategik selaras dengan keperluan semasa serta berupaya mengukuhkan fungsi RT dan Skim Rondaaan Sukarela (SRS) dan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan pada peringkat akar umbi.

Menurut kenyataan itu, dua aspek utama diberikan tumpuan dalam pindaan Akta 751, iaitu pemanjangan tempoh pelantikan Anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (AJKRT) dan cadangan untuk memperkemas peruntukan akta sedia ada.

“Aspek pemanjangan tempoh pelantikan AJKRT merujuk kepada pemanjangan tempoh pelantikan AJKRT kepada tiga tahun bagi setiap penggal, manakala pelantikan secara berturut-turut dihadkan selama dua penggal atau maksimum enam tahun keseluruhannya dalam kawasan yang sama.

“Pelantikan semula juga boleh dibuat bagi tempoh yang tidak melebihi satu penggal tambahan dengan kelulusan Ketua Pengarah Rukun Tetangga,” menurut kenyataan itu.

Bagi aspek memperkemas peruntukan Akta 751, pindaan berkenaan antaranya bagi memperkenalkan takrif baharu “orang yang mempunyai kepentingan” dalam sesuatu kawasan RT dan menetapkan hanya warganegara sahaja yang boleh dilantik sebagai anggota AJKRT.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan