AM > BERITA

MAIS Perkukuh Penyelidikan Hal Ehwal Islam, Lantik UIS Rakan Strategik

02/12/2025 07:02 PM

SHAH ALAM, 2 Dis (Bernama) -- Universiti Islam Selangor (UIS) dilantik sebagai panel penyelidik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang turut melibatkan penyaluran geran penyelidikan sebanyak RM120,000.

MAIS dalam kenyataan memaklumkan geran itu bertujuan memperkukuh jalinan strategik pengurusan penyelidikan di MAIS termasuk dalam pelaksanaan penyelidikan, penerbitan, perkongsian kemudahan dan promosi aktiviti dalam kepakaran bidang di UIS.

“MAIS berharap hasil kajian yang dijalankan dapat membantu agensi itu mengenal pasti isu-isu berkaitan hal ehwal Islam Selangor selain dijadikan panduan dalam pengurusan penyelidikan,” menurut kenyataan itu.

Penyerahan geran penyelidikan itu diadakan pada Majlis Perasmian Penutup Simposium Penyelidikan Islam Selangor 2025 di sini hari ini yang disempurnakan Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini, hari ini.

MAIS memaklumkan pihaknya telah berjaya menghasilkan 46 kajian penyelidikan berkaitan hal ehwal agama Islam di Selangor sejak 2019, antaranya Kajian Pelaksanaan Ta’widh dan Gharamah dalam Konteks MAIS, Kajian Pembangunan Model Insan Rabbani Menurut Quran: Ke Arah Penyediaan Instrumen Pelan Strategik MAIS dan Kajian Kebolehsana Baitulmal MAIS sebagai Badan Akreditasi.

Menurut MAIS, kajian penyelidikan itu meliputi beberapa tumpuan utama kemaslahatan ummah yang melibatkan sosial dan ekonomi di Selangor dengan skop pengajian akidah, syariah, dakwah, perundangan keluarga serta tadbir urus dan muamalat.

“Melalui kajian yang dijalankan, MAIS menjadi pusat sehenti bagi melaksana dan menyelia setiap penyelidikan yang ingin dijalankan oleh Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS,” menurut kenyataan itu.

MAIS memaklumkan kajian itu turut melibatkan kerjasama institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang dilantik, iaitu UIS, Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Multimedia Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Semua hasil kajian yang telah diterbitkan dikenali sebagai Jurnal Intifadah boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi MAIS di www.mais.gov.my,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan