IPOH, 2 Dis (Bernama) -- Penyanyi dan maestro muzik, Datuk M. Nasir bakal muncul dalam Konsert Amal Gendang Pati pada 17 Januari depan yang akan diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim.
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata dalam konsert yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, M. Nasir akan mempersembahkan 16 lagu.
Beliau berkata konsert berkonsepkan instrumen gendang itu adalah sumbangan sosial penghibur itu kepada UPSI selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Istiadat Konvokesyen ke-26 pada tahun lepas.
“Konsert ini bukan sekadar persembahan seni, tetapi satu penghormatan besar kepada UPSI dan warga akademia. Ia mencerminkan kesediaan M. Nasir untuk memberikan kembali kepada sektor pendidikan.
"Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah Pawana, Phoenix Bangkit, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Langgam Pak Dogol, Melawan Arus dan Kias Fansuri … ," katanya dalam satu kenyataan hari ini
Md Amin berkata persembahan akan diiringi kumpulan muzik Gong pimpinan Aznan Alias yang akan membawakan seleksi lagu popular seperti Sentuhan Listrikmu, Dah Lagu Tu, Rajawali Terbang Tinggi, Yang Bertakhta Akhirnya, Suatu Masa dan Raikan Cinta.
"Empat lagu akan dinyanyikan secara medley, iaitu lagu Sahabat Gua, Semerah Padi, Inang Bujang dan Dara, termasuk Inang Pulau Kenchana.
"Selain itu, persembahan khas kumpulan de Vokalis UPSI akan menyampaikan lagu Mustika dan dua lagi lagu kita rahsiakan," katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani berkata penganjuran konsert itu menjadi platform UPSI memperkasakan seni dan budaya sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan negara.
“Konsert ini memberikan inspirasi kepada mahasiswa seni persembahan selain mendekatkan mereka dengan tokoh seni yang telah mencorakkan landskap muzik tanah air selama lebih empat dekad,” katanya.
Tiket boleh ditempah melalui pautan t2u.asia/e/46312 manakala maklumat lanjut tersedia pada paltform media sosial rasmi UPSI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial