AM > BERITA

Adib Sufyan Raih Pakej Umrah Hasil Tamatkan Hafazan Dalam Tempoh Singkat

02/12/2025 09:10 PM

BACHOK, 2 Dis (Bernama) -- Keazaman menamatkan hafazan al-Quran dalam tempoh singkat membawa tuah kepada Adib Sufyan Suhaimi, 13, apabila beliau menerima pakej umrah sebagai penghargaan atas kejayaannya itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok itu berkata dia mengambil masa hanya kira-kira lima bulan 10 hari untuk menghabiskan 30 juzuk al-Quran meskipun berdepan jadual pembelajaran yang padat.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka dapat menamatkan hafazan dalam tempoh sesingkat ini... pakej umrah yang diberikan oleh Qashwa Travel memberi semangat untuk saya terus memperbaiki bacaan dan memahami isi al-Quran.

“Saya juga berharap peluang menunaikan umrah minggu depan menjadi inspirasi kepada pelajar lain termasuk generasi muda untuk mendekatkan diri dengan al-Quran,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Insentif Hafazan di SMKA Tok Bachok di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengurus Negeri Pejabat Pentadbiran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) Kelantan Che Nor Azila Che Ghani dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru SMKA Tok Bachok Datuk Azaha Berahim.

Berkongsi cabaran, Adib Sufyan berkata perjalanan beberapa bulan itu menuntut disiplin tinggi serta sokongan berterusan daripada ibu bapanya, Norhaslinda Abdul Hamid, 43, dan Suhaimi Omar, 43, selain bimbingan guru.

“Walaupun ada ketika semangat menurun, sokongan keluarga dan guru menguatkan tekad saya... setiap hari, saya menghafaz kira-kira 10 halaman al-Quran pada waktu pagi dan malam.

"Antara amalan saya untuk menguatkan ingatan ialah mengelakkan makanan masam,” katanya.

Sementara itu, Che Nor Azila berkata YAPIEM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan memperuntukkan RM45,000 menerusi Sumbangan Insentif Pelajar Tahfiz/Ulul Albab kepada SMKA Tok Bachok, membabitkan 200 pelajar yang menamatkan hafazan mengikut tiga kategori iaitu satu hingga 10 juzuk, satu hingga 20 juzuk dan satu hingga 30 juzuk.

Beliau berkata sebelum ini, insentif sama turut disalurkan kepada 11 pelajar SMKA Falahiah di Kota Bharu membabitkan peruntukan keseluruhan RM2,200 bagi pelajar yang menamatkan hafazan sekitar 20 juzuk.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan