KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam perkongsian data, penyelidikan perangkaan, pembangunan modal insan serta khidmat rundingan berkaitan statistik sektor koperasi.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata MoU itu membuka lembaran baharu dalam pemantapan data koperasi negara melalui pertukaran data yang lebih telus selaras dengan Akta Perangkaan 1965 dan Akta SKM 2007.
“Usaha ini dirangka bagi memastikan penghasilan statistik koperasi yang lebih tepat, holistik dan berintegriti melalui perkongsian data serta pemurnian konsep dan klasifikasi selaras dengan piawaian antarabangsa seperti Piawaian Klasifikasi Industri Antarabangsa (ISIC),” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU berkenaan di Menara SKM di sini hari ini.
Beliau berkata MoU itu juga menyokong pelaksanaan Banci Ekonomi yang bakal meliputi lebih 1.2 juta entiti perniagaan termasuk lebih 10,000 koperasi aktif selain membantu DOSM dan SKM menyelaras serta menyeragamkan data koperasi mengikut Piawaian Klasifikasi Industri Malaysia (MSIC).
Selain aspek data, kerjasama itu turut merangkumi latihan, taklimat dan pertukaran pegawai bagi meningkatkan kemahiran analitik serta keupayaan penyebaran statistik di kedua-dua agensi.
Mohd Uzir berkata senarai dan data koperasi daripada SKM akan menjadi input bernilai tinggi untuk analisis granular sekali gus membantu perancangan dasar berasaskan bukti serta meningkatkan keseragaman data koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SKM Datuk Noor Afifah Abdul Razak berkata sektor koperasi memainkan peranan signifikan dengan lebih 15,000 koperasi berdaftar dan perolehan mencecah RM68 bilion tahun ini.
“Kita memerlukan data lebih terperinci untuk mengukur impak sebenar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar, pekerjaan dan rantaian nilai.
"Kolaborasi dengan DOSM akan membantu mengenal pasti kejayaan gerakan koperasi serta ruang penambahbaikan termasuk dalam aspek kestabilan pasaran dan sekuriti makanan,” katanya.
Beliau berkata MoU itu juga memberi tumpuan kepada pengukuran penglibatan koperasi dalam pembangunan belia dan keusahawanan di peringkat akar umbi termasuk koperasi sekolah serta institusi pengajian tinggi.
Dengan termeterainya MoU ini, satu Jawatankuasa Pelaksanaan Teknikal akan ditubuh bagi merangka pelan tindakan terperinci, dan dapatan awal dijangka dimanfaatkan dalam laporan ekonomi kebangsaan suku pertama 2026.
Malaysia baru-baru ini menduduki tangga pertama global dalam Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan Open Data Watch, meningkat daripada kedudukan ke-67 dalam edisi sebelumnya.
Portal OpenDOSM NextGen menyediakan akses kepada katalog data dan visualisasi berkaitan, boleh diakses di https://open.dosm.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial