IPOH, 2 Dis (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM1.61 bilion.
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2026 itu dibahaskan selama tiga hari bermula dari Rabu lepas melibatkan 44 wakil rakyat, iaitu 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan dan 26 ADUN pembangkang.
Belanjawan Perak 2026 dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada 25 Nov lepas.
Belanjawan yang meneruskan tema “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera” itu memfokuskan lima keutamaan merangkumi kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan negeri, pembangunan modal insan dan belia, kelestarian alam sekitar dan keterjaminan bekalan makanan.
Sementara itu, Saarani dalam ucapan penggulungannya berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan perjawatan guru tadika Islam dalam bentuk perjawatan berskim bagi memastikan kesinambungan kebajikan yang lebih terjamin.
"Semasa saya ada sesi libat urus dengan JAIPk, berkaitan dengan cadangan untuk naikkan elaun guru KAFA (Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) … JAIPk beritahu bahawa mereka sedang dalam proses kajian untuk menaik taraf guru tadika Islam itu.
"Jadi, apabila sudah dinaik taraf, gajinya jauh lebih tinggi daripada yang ingin kita cadangkan. Sebab itu kita tunggu dulu skim (perjawatan) yang berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata perlu ditegaskan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) ialah kerangka perdagangan antara kedua-dua negara dan bukan perkongsian eksklusif.
Saarani berkata walaupun ART membuka ruang perdagangan dengan Amerika Syarikat, perjanjian itu tidak menghalang Malaysia daripada terus berdagang dengan pasaran antarabangsa yang lain.
"Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri Perak teguh dengan pendirian bahawa sebarang perjanjian perdagangan yang melibatkan sumber mineral strategik negeri, termasuk REE (unsur nadir bumi) mestilah berpaksikan kepentingan rakyat dan kelestarian ekonomi negeri.
"Mengenai penglibatan entiti asing, termasuk Amerika Syarikat seperti dipersoalkan oleh Yang Berhormat Gunong Semanggol, kerajaan negeri berpendirian bahawa penglibatan negara tersebut adalah terhad kepada peranan sebagai rakan dagang dan tidak melibatkan kawalan langsung terhadap pengeluaran REE di Perak," katanya.
Persidangan DUN Perak ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial