AM > BERITA

Tugas Wakil Rakyat Bukan Halangan, ADUN Batu Uban Tamat Sarjana Di USM Dalam Setahun

02/12/2025 10:58 PM

GEORGE TOWN, 2 Dis (Bernama) -- Disiplin diri, pengurusan masa dan komitmen yang konsisten menjadi resepi kejayaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban A Kumaresan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam (MPA) di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam tempoh hanya setahun.

Meskipun memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat, Kumaresan, 38, berjaya mengekalkan kehadiran kelas melebihi 85 peratus dengan jadual kuliah empat kali seminggu dari 6 petang hingga 9 malam. 

Mengakui proses pengajian itu mencabar, beliau berkata kesibukan tugasan rasmi tidak pernah menjadi alasan untuk menangguhkan komitmen akademik, malah memastikan setiap sesi kelas dihadiri tanpa gagal.

"Walaupun jadual tugas rasmi sentiasa padat, saya menetapkan sasaran untuk menamatkan pengajian dalam tempoh setahun dan strategi saya termasuk menyusun jadual kerja serta komitmen rasmi mengikut keutamaan supaya tidak bertembung dengan sesi pengajian. 

"Saya turut mengamalkan pendekatan penyediaan tugasan secara awal, selain memanfaatkan waktu senggang antara mesyuarat untuk membaca, membuat nota dan melakukan semakan ringkas," katanya dalam kenyataan dikeluarkan USM selepas majlis konvokesyen ke-63 USM di sini malam ini.

Kumaresan yang menjadi ADUN Batu Uban sejak 2018 turut merakamkan penghargaan kepada tenaga akademik USM atas sokongan dan bimbingan sepanjang pengajiannya di universiti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan itu berkata komitmen beliau untuk terus memperkukuh pengetahuan dalam aspek pentadbiran dan dasar awam tidak akan terhenti kerana ilmu memberi keupayaan kepada pemimpin dalam membuat keputusan lebih berakauntabiliti dan berorientasikan kepentingan masyarakat.

Beliau juga kini merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), selaras dengan komitmennya terhadap pembangunan profesional dan peningkatan kapasiti kepimpinan.

Konvokesyen USM yang menutup tirai hari ini sejak berlangsung dari 25 Nov lepas, menyaksikan 9,347 graduan menerima skrol terdiri daripada 865 (PhD), 3,501 (Sarjana), 4,934 (Sarjana Muda), 47 (Diploma Kejururawatan) serta seorang penerima Ijazah Kehormat.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan