IPOH, 2 Dis (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan dana pembiayaan sebanyak RM30 juta kepada usahawan di Perak pada tahun depan bagi membantu mereka memperkukuh perniagaan, seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pada tahun ini, hampir RM26 juta diperuntukkan untuk pembangunan usahawan bumiputera negeri Perak meliputi pembiayaan, latihan keusahawanan, sesi pementoran dan khidmat perunding,
“Kita nak fokuskan pada tahun depan supaya lebih ramai usahawan yang boleh menembusi pasaran (antarabangsa) sekurang-kurangnya di peringkat ASEAN.
“Melalui MARA Gate to Global (GTG), kita membantu segala aspek bagi memastikan usahawan bersedia memasuki pasaran antarabangsa kerana mereka perlu memenuhi piawaian yang ditetapkan setiap negara dan di situlah MARA membantu melalui projek khas kita, GTG,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Usahawan MARA Negeri Perak 2024-2025 di sini malam ini.
Asyraf Wajdi berkata pihaknya menyasarkan peningkatan sebanyak 30 hingga 40 peratus usahawan terlibat program GTG secara keseluruhan, setiap tahun.
“Jadi, saya percaya setiap tahun kita dapat melihat pencapaian (GTG) sentiasa berkembang kerana kita di peringkat MARA, prinsip bimbingan ini berterusan.
“Kita tidak akan membiarkan mereka sekadar memulakan perniagaan, tetapi nak memastikan kelestarian perniagaan dan pengembangan perniagaan mereka terus diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata ketika ini, 37 peratus daripada kira-kira 647,000 usahawan di negara ini adalah bumiputera dengan 88 peratus daripadanya berstatus mikro.
“Kita mempunyai strategi untuk tahun-tahun mendatang supaya mereka yang berada dalam kategori mikro boleh kita angkat kepada kategori kecil dan seterusnya sederhana,” katanya.
Sementara itu, Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2024-2025 Negeri Perak menyaksikan 12 usahawan terpilih daripada 35 pencalonan dalam kategori Industri Gaya Hidup, Automotif, Perkhidmatan, Pembinaan, Makanan & Minuman, Program Khas Usahawan, Usahawan Inspirasi Wanita, Usahawan TVET, Lepasan IPMA, Usahawan Wakaf MARA MADANI serta Jenama Terbaik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial