PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 300,000 pengunjung dalam tiga hari penganjurannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata program yang berlangsung sejak Jumaat lepas itu dilaksanakan bagi membolehkan rakyat menilai pencapaian Kerajaan MADANI selama tiga tahun ini, selain menikmati perkhidmatan kerajaan yang ada.
“Tahniah kepada rakyat yang menyantuni dan menjayakan program ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini hari ini.
Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta barisan Jemaah Menteri.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Perdana Menteri berkata sepanjang tiga tahun pentadbiran, Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai ikhtiar, khusus bagi memberi manfaat kepada seluruh rakyat pelbagai kaum.
“Sebenarnya kalau kita kira 167 (ikhtiar baharu) tetapi kadang-kadang tidak sampai kepada khalayak. Yang sampai itu hanya sumpah dan maki hamun kerana dalam negara demokrasi dan bebas dengan media sosial, ruang itu (lebih banyak) digunakan untuk menghina daripada membina,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menyeru penjawat awam untuk terus melipatgandakan usaha penyampaian maklumat agar setiap dasar dan inisiatif kerajaan difahami rakyat di peringkat akar umbi.
“Saya mohon dalam kalangan penjawat awam boleh sedikit berbeza pendapat tetapi tugas kita adalah menyampaikan apa yang dilakukan (kerajaan) dan menegur atau mencadangkan apa yang perlu ditambah,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut memuji barisan Jemaah Menteri serta kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam yang membantu kerajaan pimpinannya merangka dasar untuk kesejahteraan rakyat.
“Ukuran kejayaan kita bukan saja pertumbuhan tetapi keselesaan kepada rakyat keseluruhannya. Saya ucapkan penghargaan kerana majoriti besar rakyat memilih untuk menjaga komuniti mereka dalam konteks negara.
“…menjaga negeri mereka dalam konteks negara Malaysia dan tidak melihatnya dari segi corong yang sempit yang akan mengundang perpecahan dan malapetaka,” katanya.
Program Rancakkan MADANI menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada orang ramai.
Program Rancakkan MADANI ialah kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial