KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Pemergian bekas Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad merupakan satu kehilangan besar kepada umat Islam di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sepanjang hayatnya, Allahyarham bukan sahaja dikenali sebagai Imam Besar Masjid Negara paling lama berkhidmat tetapi juga seorang pendidik, mursyid dan tokoh al-Quran yang mencurahkan ilmunya tanpa jemu.
"Khidmat beliau sebagai hakim Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa turut mengangkat martabat negara di mata dunia," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata tokoh agama yang amat dihormati itu adalah insan yang lembut tutur kata, tinggi ilmu dan besar jasanya dalam memartabatkan al-Quran, ilmu dan dakwah.
"Keperibadian beliau akan kekal menjadi contoh sepanjang zaman.
"Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian kehilangan ini.
"Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima segala amal solehnya dan menempatkan rohnya dalam kalangan para solihin," katanya.
Allahyarham Syaikh Ismail yang merupakan Tokoh Maal Hijrah 1443H/2021 Peringkat Kebangsaan dan berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara pada 2007 hingga 2019 meninggal dunia pada usia 81 tahun awal pagi tadi.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata Allahyarham Syaikh Ismail antara figura penting dalam memperjuangkan literasi al-Quran di tanah air.
Beliau berkata Allahyarham bukan sekadar seorang guru tetapi murabbi ummah yang membimbing dengan penuh hikmah, kelembutan dan ketegasan ilmu.
“Saya secara peribadi amat terkesan dengan pemergian ini. Banyak kenangan bersama Allahyarham yang akan terus saya simpan sebagai amanah perjuangan agar tradisi ilmu, adab dan kecintaan terhadap al-Quran terus disuburkan,” katanya.
Mohd Na'im mendoakan semoga Allah SWT mengampuni, merahmati dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan para solihin.
“Untuk seluruh keluarga Allahyarham, saya mengucapkan setinggi-tinggi takziah. Moga diberi kesabaran, ketabahan dan ketenangan hati,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial