AM > BERITA

Lebih 8,000 Peserta Sertai Larian "Relay For Life", Kempen Kesedaran Kanser

07/12/2025 04:15 PM

KAMPAR, 7 Dis (Bernama) -- Lebih 8,000 peserta terdiri daripada orang awam, penjaga dan pemandiri kanser menyertai acara larian Relay For Life (RFL) Malaysia 2025 yang diadakan di enam negeri sepanjang tahun ini.

Acara tahunan anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) itu diadakan bertujuan menjadi pemangkin semangat kepada pesakit dan pemandiri kanser untuk terus berjuang serta menyuntik kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai penyakit tersebut. 

Pengarah Urusan NCSM Prof Dr M Murallitharan berkata pada tahun ini acara larian RFL diadakan di enam lokasi berbeza iaitu bermula di Pulau Pinang, Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Melaka serta lokasi terakhir di Perak.

Beliau berkata semangat Relay For Life diteruskan berkat komitmen yang tidak ternilai daripada pelbagai pihak berkepentingan dengan penglibatan lebih 40 rakan kongsi terdiri daripada pelbagai organisasi bukan berasaskan keuntungan, kumpulan sokongan dan badan kerajaan.

"Melihat jumlah penyertaan pemandiri kanser menyertai acara ini dan disokong oleh ribuan ahli komuniti menjadi bukti harapan dan sokongan yang memberansangkan. 

"Kami mengucapkan terima kasih kepada setiap kerajaan negeri, majlis tempatan dan warganegara kerana menjadikan acara ini satu pergerakan yang melambangkan kebangsaan. Semangat bersama inilah akan meningkatkan kesedaran tentang kanser dan meningkatkan kualiti hidup pesakit," katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan acara larian berkenaan di Universiti Tunku Abdul Rahman di sini.

Acara yang disertai kira-kira 1,200 peserta hari ini itu turut dihadiri isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Aezer Zubin.

Setiap acara didahului upacara Luminaria yang menyentuh perasaan dengan menampilkan sesi perkongsian ikhlas oleh penjaga dan pemandiri kanser, persembahan penuh inspirasi dan perarakan Luminaria untuk menghormati mereka yang telah meninggal dunia dan meraikan mereka yang masih hidup.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan