AM > BERITA

Setiap Sen Royalti Buku Untuk Bantu Pelajar Miskin - Anwar

07/12/2025 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan setiap sen royalti daripada buku terbaharunya, Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times, akan disalurkan sepenuhnya kepada pelajar kurang berkemampuan di negara ini.

Beliau berkata naskhah berkenaan diterbitkan secara global oleh Hurst untuk pasaran United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah; Penguin untuk Asia; dan Hong Kong University Press untuk China dan Asia Timur, dengan unjuran royalti yang dijangka besar susulan harga ditentukan oleh penerbit.

"Saya umumkan sekarang bahawa setiap sen royalti akan dibelanjakan untuk pelajar miskin di negara ini.

"Jadi terima kasih sekali lagi dan kakitangan saya akan pastikan apabila royalti dihantar, setiap satu sen akan segera disalurkan kepada pelajar miskin di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku itu di Tsutaya Books, Pavilion Bukit Jalil, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai buku itu, Anwar berkata ia bukanlah autobiografi semata-mata tetapi lebih kepada kompilasi perkembangan ideanya sejak 1970-an, meliputi isu-isu seperti keadilan, reformasi, rasuah, ekstremisme agama dan cabaran masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Beliau juga mengetengahkan cabaran global terkini termasuk transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga dengan penekanan bahawa kemajuan teknologi tidak seharusnya mengorbankan nilai insani.

Perdana menteri berkata buku itu dikarang lebih sedekad meliputi sebahagian daripada catatan peribadinya semasa di Penjara Sungai Buloh, serta refleksi daripada pelbagai fasa kehidupannya sebagai aktivis, menteri dan tahanan politik.

Sebelum ini, Anwar turut menghasilkan The Asian Renaissance, yang diterbitkan pada 1996 semasa beliau berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Karya itu kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Itali oleh penterjemah Andrea Fais dan penerbit Stefano Bonilauri.

"The Asian Renaissance didedikasikan untuk ibu bapa saya. Buku ini, didedikasikan khas buat isteri kesayangan saya, Azizah," katanya.

Terdahulu, Anwar menandatangani replika kulit buku berkenaan yang dipaparkan pada kekuda sebelum menghadiri sesi temu mesra dan menandatangani buku setebal 240 muka surat itu yang dibeli pengunjung.

Beliau turut menghabiskan masa kira-kira sejam beramah mesra dengan orang ramai di kedai buku tersebut.

Majlis yang bermula kira-kira 1.30 tengah hari itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim, ahli akademik serta pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.

Untuk rekod, The Asian Renaissance mengemukakan pandangan Anwar mengenai kebangkitan tamadun Asia berdasarkan nilai-nilai ilmu, budaya, keterbukaan dan keadilan, sebagai tindak balas terhadap ketidakseimbangan global dan penguasaan wacana Barat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan