PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) sedia menjalin kerjasama erat dengan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) bagi memperkukuh ketelusan serta menyokong agenda reformasi jabatan itu menerusi penyampaian maklumat yang jelas, berimbang dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata penubuhan CiJA disifatkan sebagai platform profesional penting dalam memperkukuh kolaborasi strategik antara pengamal media meja jenayah dan agensi penguatkuasaan negara.
Beliau berkata penubuhan CiJA memberi nilai tambah kepada ekosistem pelaporan isu jenayah dan urusan imigresen serta membantu masyarakat memperoleh gambaran lebih tepat mengenai isu yang bersifat rumit dan sensitif.
“Dengan adanya satu wadah yang menghimpunkan wartawan meja jenayah secara profesional, JIM juga dapat berinteraksi dengan media secara lebih teratur dan mendalam bagi memastikan maklumat yang dikongsi kepada umum adalah jelas, berimbang serta tidak mengganggu operasi sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata reformasi JIM bukan sekadar melibatkan penambahbaikan sistem dan teknologi, malah merangkumi cara masyarakat memahami usaha JIM di lapangan termasuk aspek ketelusan, penjelasan yang tepat serta komunikasi yang bertanggungjawab sebagai asas kepada kepercayaan awam.
Dalam konteks itu, beliau berkata JIM melihat CiJA sebagai rakan strategik yang boleh membantu memperkukuh pemahaman rakyat terhadap dasar serta tindakan penguatkuasaan JIM.
Sebagai sebahagian daripada komitmen berkenaan, Zakaria berkata JIM terbuka untuk mengadakan sesi penerangan berkala mengenai undang-undang dan dasar imigresen, selain berkongsi perkembangan penguatkuasaan serta trend semasa termasuk usaha digitalisasi perkhidmatan.
“Langkah ini bertujuan menyokong wartawan dalam menghasilkan laporan yang lebih tepat dan berasaskan fakta,” katanya.
Pada masa sama, JIM turut merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan baharu CiJA serta menghargai kesungguhan media dalam mendidik masyarakat mengenai keselamatan dan kepatuhan imigresen.
Kepimpinan CiJA yang baharu dilantik ialah Safeek Affendy Razali (Berita Harian) sebagai Presiden, Hafidzul Hilmi (Harian Metro) dan Maszureen Hadzman (Utusan Malaysia) sebagai Timbalan Presiden 1 dan 2, manakala Farik Zolkepli (The Star) sebagai Bendahari dan Nuraina Hanis Abd Halim (Utusan Malaysia) sebagai Setiausaha.
CiJA turut menamakan tujuh ahli jawatankuasa termasuk Ketua Meja Jenayah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad.
Beliau berkata JIM akan terus bekerjasama dengan rakan media bagi memastikan naratif JIM yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat, mudah difahami dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial