BATU PAHAT, 7 Dis (Bernama) -- Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke-25 tahun ini bermaksud sudah 25 tahun Hafizah Hamsin menjalankan amanah menyiapkan jubah istiadat tetamu kehormat termasuk Canselor dan Pro-Canselor universiti itu.
Hafizah, 54, atau lebih dikenali sebagai Kak Fizah berkata menjadi sebahagian daripada tulang belakang konvokesyen merupakan tanggungjawab penting kerana jubah tetamu kehormat sentiasa menjadi perhatian pada hari tersebut.
“Seminggu sebelum konvokesyen, saya bersama-sama jawatankuasa akan memastikan semua jubah dalam keadaan baik, digosok rapi, bersih dan tiada sebarang kecacatan. Topi Bonet juga harus diperiksa satu per satu.
“Saya perlu perhatikan setiap perincian termasuk (jika) benang tertetas pada bahagian songket dan tanda nama dipasang betul pada jubah individu sepatutnya. Ramai anggap ini kerja mudah tetapi perlu dibuat penuh teliti,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Dewan Sultan Ibrahim di sini.
Pegawai Khidmat Pelanggan di Pejabat Pendaftar UTHM itu berkata sepanjang tempoh itu, detik paling mendebarkan ialah semasa kali pertama menyediakan jubah untuk Canselor pada 2002, iaitu Sultan Ibrahim (semasa itu Tunku Mahkota Johor) yang kini merupakan Yang di-Pertuan Agong.
“Hati saya sangat berdebar waktu itu. Saya hanya berdoa semuanya berjalan lancar. Selepas sidang pertama selesai, baginda senyum dan menzahirkan terima kasih kepada saya. Memang lega rasanya (mendengar ucapan itu),” katanya.
Anak jati Kampung Parit Sikun dekat sini berkata selepas lebih dua dekad kejadian itu, beliau kembali merasai debaran sama pada 2023 apabila Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM baharu.
“Alhamdulillah, Tunku Mahkota Ismail juga seperti ayahanda baginda, sangat mesra rakyat menjadikan kami di UTHM selesa bekerja,” katanya.
Setelah 31 tahun berkhidmat di universiti itu, Hafizah berkata masih bersedia untuk meneruskan tanggungjawab tersebut pada konvokesyen akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial