MELAKA, 7 Dis (Bernama) -- Kelab Motosikal Bernama (BMC) menyerahkan sumbangan kepada Lembaga Pengurusan dan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Islam (Payasum) di Sungai Udang di sini hari ini.
Presiden BMC Amrizan Madian berkata penyerahan sumbangan itu merupakan satu daripada aktiviti sempena Program Ziarah Kasih BMC sekali gus menjadi acara penutup kelab berkenaan bagi tahun ini.
"Penyerahan sumbangan hari ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat BMC selepas program ziarah kasih terhadap pesara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sekitar Melaka semalam.
"Sumbangan ini diperoleh daripada hasil kutipan dana selama dua bulan daripada ahli BMC dan petugas Bernama," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata program seumpama itu akan diteruskan pada tahun hadapan dalam usaha menyantuni dan membantu golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim dan warga emas.
BMC yang ditubuhkan secara rasmi pada 31 Ogos 2023 dan memiliki keahlian hampir 100 orang terdiri daripada petugas dan pesara Bernama, katanya bukan sahaja melaksanakan program jelajah atau konvoi bermotosikal tetapi bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli menerusi pelbagai program.
Sementara itu, Pengurus Payasum Amirudin Md Sareh berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak dalam usaha memastikan kebajikan 47 anak yatim dan miskin yang ditempatkan di rumah kebajikan itu terus terpelihara.
Beliau berkata sumbangan diterima secara tidak langsung dapat menambah dana pihak pengurusan Payasum dalam menampung kos operasi dan pengurusan rumah kebajikan yang ditubuhkan pada 1963 itu.
"Kunjungan ahli BMC bersama pelbagai jenis motosikal termasuk berkuasa tinggi memberi keceriaan kepada anak yatim dan miskin di sini kerana ini merupakan kali pertama mereka menerima kunjungan konvoi bermotosikal," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial