PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) mula menunjukkan kejayaan namun usaha penambahbaikan perlu diteruskan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata kerajaan tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian sedia ada sebaliknya perlu mendengar pandangan rakyat mengenai perkara yang masih perlu diperbaik.
“Sebab itu saya lebih suka mendengar apa yang rakyat masih tidak berpuas hati supaya kita boleh buat penambahbaikan.
“... daripada kita mengatakan berjaya capai ini, capai itu kerana ia (reformasi) berterusan,” katanya kepada Bernama semasa ditemui pada Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini hari ini.
Shamsul Azri berkata antara penambahbaikan sedang diberi tumpuan ialah memperkukuh kefahaman penjawat awam terhadap konsep Malaysia MADANI melalui modul Malaysia MADANI Penjawat Awam (MMPA) dibangunkan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Beliau berkata Ketua Setiausaha (KSU) setiap kementerian dipertanggungjawabkan untuk memastikan penjawat awam memahami aspirasi Malaysia MADANI.
“Kita wajibkan semua penjawat awam untuk menjawab soalan (MMPA) dan kalau pencapaian dia rendah, ia akan dipertanggungjawabkan kepada KSU berkenaan.
“KSU sepatutnya orang pertama faham Malaysia MADANI dan seharusnya maklum dan ajar pegawainya,” katanya.
Shamsul Azri berkata pelaksanaan penilaian terhadap pencapaian penjawat awam dalam modul MMPA bermula 1 Jan ini.
ARPA yang diperkenalkan September tahun lepas ialah kerangka strategik nasional yang digariskan untuk memperkasakan dan memodenkan penyampaian perkhidmatan awam supaya lebih cekap, berprestasi dan berorientasikan rakyat.
Kerangka itu dipacu lima teras utama, iaitu nilai dan tadbir urus, modal insan, pembangunan organisasi, penyampaian perkhidmatan serta sinergi awam dan swasta, dan disokong rangka tindakan terperinci untuk mencapai hasil reformasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial