PUTRAJAYA, 8 Dis (Bernama) -- Pencapaian murid Malaysia dalam pentaksiran serantau Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) kekal stabil dengan kedua-dua domain Bacaan dan Matematik masing-masing merekodkan skor melebihi purata serantau, meskipun mencatat sedikit penurunan berbanding pusingan penilaian pertama.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata bagi domain Bacaan, Malaysia merekodkan skor melepasi purata serantau 300 mata, dengan penurunan kecil sebanyak lima mata berbanding penilaian SEA-PLM 2019.
Beliau berkata gambaran sama turut direkodkan bagi domain Matematik apabila skor negara melepasi purata serantau 305 mata, juga dengan penurunan lima mata.
“Ini bermakna secara keseluruhan, murid Malaysia berada pada tahap literasi membaca yang kompetitif walaupun menghadapi gangguan pembelajaran.
“Ini menunjukkan asas numerasi murid Malaysia masih kukuh secara relatif, walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam pemulihan pembelajaran,” katanya ketika membentangkan keputusan SEA-PLM 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata kohort yang mengambil bahagian dalam SEA-PLM 2024 ialah murid yang lahir pada 2013, dan menyifatkan kohort itu unik kerana murid menjalani PdPR (proses pengajaran dan pembelajaran di rumah) selama hampir dua tahun ketika berada di Tahun 1 dan Tahun 2, iaitu semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dari 2020 hingga 2021.
“Gangguan pembelajaran pada awal fasa persekolahan ini merupakan faktor besar yang mempengaruhi penguasaan kemahiran asas mereka dan menjadi konteks penting untuk mentafsir dapatan SEA-PLM dengan tepat,” katanya.
Mohd Azam berkata trend yang direkodkan membantu Kementerian Pendidikan (KPM) merangka intervensi lebih bersasar bagi memastikan murid bukan sekadar pulih, malah mampu meningkatkan kemahiran Matematik ke tahap lebih tinggi.
SEA-PLM yang dijalankan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil adalah pentaksiran serantau anjuran Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), melibatkan tujuh negara ASEAN termasuk Timor-Leste.
SEA-PLM 2024 menilai pencapaian 4,379 murid Tahun 5 daripada 158 sekolah dalam empat domain utama, namun bagi pusingan kali ini, dapatan hanya melibatkan domain Bacaan dan Matematik.
Mengulas pencapaian mengikut band aras penguasaan, beliau berkata sebanyak 69 peratus murid mencapai Band 5 dan ke atas bagi domain Bacaan, yang disifatkan sebagai pencapaian baik, termasuk satu pertiga murid daripada keluarga berstatus sosioekonomi (SES) rendah.
Bagi domain Matematik pula, sebanyak 74 peratus murid mencapai Band 5 dan ke atas, sekali gus menunjukkan trend penguasaan asas numerasi yang semakin positif.
“Ini menunjukkan inisiatif yang dilaksanakan oleh KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah telah menampakkan implikasi positif,” katanya.
Antara inisiatif berkenaan ialah pembangunan kapasiti guru, program pemulihan khas, program baca bersama serta program literasi dan numerasi sekolah rendah.
Dari segi jantina, Mohd Azam berkata pencapaian murid perempuan masih mengatasi murid lelaki dalam domain Bacaan, namun jurang semakin mengecil daripada sembilan mata pada 2019 kepada tujuh mata pada 2024.
Katanya, bagi Matematik pula, tiada jurang pencapaian antara murid lelaki dan perempuan direkodkan, malah murid lelaki mencatat peratusan lebih tinggi bagi Band 8 dan 9 berbanding murid perempuan.
Beliau berkata jurang berdasarkan status sosioekonomi kekal sebagai cabaran utama apabila perbezaan ketara direkodkan antara murid daripada keluarga berpendapatan rendah dan tinggi, iaitu jurang 23 mata bagi Bacaan dan 26 mata bagi Matematik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial