KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Selangor pulih sepenuhnya dengan penutupan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Kuala Selangor semalam, manakala jumlah mangsa di Perak merekodkan penurunan pagi ini.
Di SELANGOR, banjir di negeri itu pulih apabila PPS terakhir iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan, Kuala Selangor yang menempat 38 mangsa daripada 12 keluarga di sebelah pagi, ditutup pada 3 petang, semalam (8 Dis).
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Mohd Raiz Radzuan ketika dihubungi berkata semua mangsa dari Kampung Asahan dibenarkan pulang semalam dan keadaan banjir di sekitar daerah itu juga kembali nornal.
Katanya sebanyak 20 PPS dibuka sejak 24 Nov lalu dengan 29 kawasan di seluruh daerah itu dikenal pasti terjejas banjir.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir pagi ini berkurangan sedikit kepada 411 orang daripada 122 keluarga yang masih ditempatkan di lima PPS di tiga daerah, berbanding 487 mangsa daripada 140 keluarga malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan PPS Dewan Rumah Rehat MPTI Bandar Baru di Hilir Perak, yang sebelum ini menempatkan 45 orang daripada 10 keluarga, telah ditutup sepenuhnya pada 8.30 malam tadi.
PPS Dewan Kompleks Belia dan Sukan Bagan Datuk masih mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 142 orang daripada 45 keluarga daripada lapan kampung di daerah itu.
Di Manjung, 140 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di dua PPS, manakala di Hilir Perak, 129 mangsa daripada 37 keluarga masih berlindung di dua PPS.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut meramalkan hujan lebat dan ribut petir pada sebelah pagi di tiga daerah yang terjejas teruk akibat banjir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial