AM > BERITA

Projek Tebatan Banjir Sungai Kenau Dijangka Siap Nov 2026 - Wan Rosdy

09/12/2025 10:54 AM

KUANTAN, 9 Dis (Bernama) -- Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kenau di Sungai Lembing di sini dijangka siap pada 27 Nov 2026, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata setakat ini kemajuan fizikal projek mencapai 16.84 peratus, melebihi jadual 16.33 peratus dan mendahului empat hari daripada yang dirancang.

“Kajian reka bentuk dan kerja-kerja berkaitan projek berkenaan bermula pada 28 Nov 2023,” katanya ketika menjawab soalan Mohamad Ayub Mat Ashri (PN–Sungai Lembing) mengenai status projek tebatan banjir itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Beliau menambah, kerja-kerja mendalamkan, pengorekan dan pengepaman sungai telah dilaksanakan bagi melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir.

“Tujuannya supaya air dapat mengalir lebih pantas dan banjir dapat dielakkan. Kerja-kerja pemeliharaan sungai turut dilaksanakan, selain pemeriksaan di tebing sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) yang ingin mengetahui langkah jangka masa pendek kerajaan negeri sebelum projek tebatan banjir tersebut siap sepenuhnya.  

Wan Rosdy berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan