AM > BERITA

Sukan Berimpak Tinggi Perkukuh Port Dickson Sebagai Destinasi Pelancongan Sukan

09/12/2025 12:33 PM

SEREMBAN, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan terus mempergiat pembangunan pelancongan sukan sebagai strategi utama memacu pertumbuhan ekonomi, dengan menekankan promosi Port Dickson sebagai destinasi sukan bertaraf nasional dan antarabangsa menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Mustapha Nagoor berkata sepanjang tahun ini pelbagai acara sukan berimpak tinggi telah dianjurkan di daerah itu, termasuk pertandingan bertaraf antarabangsa dan program komuniti.

Antara acara utama ialah Negeri Sembilan Forest Orienteering Cup 2025 di PD Forest @ Sungai Menyala yang menarik 154 peserta dari sembilan negara, sekaligus meletakkan daerah tersebut sebagai destinasi baharu sukan orienteering di rantau ini.

“Selain itu, acara lain yang dianjurkan termasuk PD 2KM OWS Classic, Port Dickson Triathlon 2025, Sungai Menyala Forest Trail 2025, BWF Asia Pacific AirBadminton Championship 2025, Cabaran Ombak dan Eksplorasi Port Dickson 2025, 3rd Malaysia National & Merdeka Fest Open Water Swimming Championship, PD Golf ASEAN 2025 serta Petronas LE Tour de Langkawi Malaysia 2025,” katanya pada sesi jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mustapha (BN-Palong) menjawab soalan Dr G. Rajasekaran (PH-Sri Tanjung) mengenai usaha kerajaan negeri meningkatkan potensi pelancongan sukan di Port Dickson.

Beliau berkata acara lain seperti Port Dickson Amphibian Race, Army Half Marathon, dan Port Dickson Surfcasting 2025 turut menyumbang kepada kehadiran pelancong sukan, manakala Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) melaksanakan pelbagai usaha strategik memperkukuh ekosistem pelancongan sukan.

Kerajaan negeri juga menyalurkan peruntukan khas bagi projek pelancongan dan warisan, menyokong pelaksanaan program sukan berimpak tinggi serta memperkukuh Port Dickson sebagai destinasi utama di dalam negara dan Asia Tenggara.

“Usaha termasuk penyediaan kalendar acara sukan tahunan berfokus pantai, penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti sukan pantai, pembangunan komuniti dan tenaga kerja tempatan. Untuk tarikan antarabangsa, program acara sukan luar negara dirancang mengadaptasi model Gold Coast,” katanya.

Mustapha menambah, kerajaan negeri memberi fokus kepada strategi pemasaran antarabangsa, menumpukan pasaran Singapura, Indonesia, Thailand, Eropah dan Timur Tengah, yang menunjukkan minat tinggi terhadap aktiviti sukan pantai dan pengembaraan.

Bagi menambah nilai pengalaman pelancong sukan, Port Dickson juga dirancang memperkenalkan konsep “after-sport wellness” melalui penyediaan pusat spa, rawatan fisioterapi dan program kesihatan yang menekankan keseimbangan antara aktiviti sukan dan rekreasi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan