AM > BERITA

LPQB Perlu Kaji Semula Cadangan Pemansuhan Program Kerani Berartikel - Kulasegaran

09/12/2025 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan menegaskan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) perlu meneliti semula cadangan pemansuhan peruntukan program kerani berartikel dengan mengambil kira kepentingan penduduk, peluang pendidikan alternatif serta potensi penambahbaikan program berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata cadangan itu wajar dikaji semula oleh LPQB dengan mengambil kira pandangan Ahli Parlimen semasa sesi libat urus Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Undang-Undang (Pindaan) (No. 2) 2025 [D.R. 37/2025].

Beliau berkata Ahli Parlimen berpandangan bahawa program kerani berartikel wajar diteruskan dengan penambahbaikan selaras perkembangan semasa bagi memastikan peguam yang dihasilkan melalui laluan itu kekal berkualiti tinggi dan setara dengan piawaian profesion undang-undang negara.

“Kerajaan telah menerima cadangan pindaan LPQB untuk memansuhkan program kerani berartikel. Kerajaan dimaklumkan bahawa pada 8 Jan 1985, Lembaga telah memutuskan bahawa kerani berartikel tidak lagi dibenarkan sebagai laluan kemasukan sebagai peguam bela dan peguam cara berkuat kuasa 1 Jan 1985.

“Menurut LPQB, keputusan ini dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk jumlah pelajar yang kecil melalui laluan tersebut, ketiadaan infrastruktur bagi menjalankan kursus, kos tinggi untuk membangunkan semula kemudahan serta kewujudan laluan lain yang mencukupi seperti Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang tempatan dan Sijil Amalan Guaman (CLP),” katanya.

Kulasegaran menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin tahu sekiranya kerajaan bercadang membuat pindaan kepada Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166] bagi memansuhkan program kerani berartikel pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Program kerani berartikel merujuk kepada laluan latihan praktikal di firma guaman bagi individu yang belum mengambil ijazah undang-undang sepenuh masa tetapi layak melalui kelayakan tertentu. 

Program itu telah diwujudkan oleh Parlimen sebagai tiga daripada enam fungsi LPQB di bawah Seksyen 5(a), (b) dan (c) Akta Profesion Undang-Undang 1976, yang memberi pendedahan sebenar terhadap kerja guaman, membolehkan latihan dibimbing oleh peguam kanan dan menjadi laluan alternatif untuk memasuki profesion guaman.

Kulasegaran berkata keputusan LPQB untuk tidak meneruskan program itu pada tahun 1985 adalah melampaui kuasa sedia ada di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan perkara itu telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes semakan kehakiman Fahri, Azzat & Co & Anor lawan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang [2025] 1 MLJ 671.

“Keputusan tersebut telah seterusnya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan masih meneliti cadangan pindaan tersebut secara menyeluruh dan memaklumkan fokus utama kerajaan ketika ini adalah untuk memperkukuh tadbir urus, kecekapan dan akauntabiliti LPQB dengan pindaan-pindaan kepada Akta 166 melalui RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) (No. 2) 2025 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 1 Dis 2025.

“Pindaan ini mereformasi LPQB dengan keanggotaan lebih inklusif dan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang bagi memastikan dasar kemasukan ke profesion undang-undang ditadbir dengan lebih telus dan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan