MELAKA, 9 Dis (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berhasrat memperluas penggunaan vakum inovasi dikenali Bee Rescue Vacuum (BRV) 2025 dalam operasi berkaitan aduan lebah dan tebuan bagi menggantikan kaedah pembakaran atau penggunaan racun serangga.
Pengarah JBPM Melaka Mohd Zaidi Ma’at berkata penggunaan BRV yang dibangunkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh itu membolehkan kumpulan lebah disedut dan dipindahkan ke lokasi selamat atau diserahkan kepada pengusaha lebah.
“Kaedah menggunakan sistem sedutan ini juga mampu mengurangkan risiko kepada anggota serta penduduk selain menyokong kelestarian alam sekitar kerana lebah dapat dipindahkan ke kawasan lebih selamat.
“Inovasi ini juga telah melalui proses pendaftaran harta intelek dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan akan diperluas penggunaannya ke seluruh Melaka, selain penambahbaikan berterusan turut dijalankan melalui kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM),” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Melaka di sini hari ini.
Mohd Zaidi berkata alat inovasi BRV yang dibangunkan kumpulan Aria dari BBP Ayer Keroh sebelum ini telah diumumkan sebagai Johan Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Primer 2025 pada Sambutan Minggu Inovasi JBPM 2025 yang berlangsung di Kedah dari 23 hingga 25 Nov lepas.
Beliau berkata kemenangan itu merupakan satu kejayaan yang membanggakan dengan penghasilan peralatan inovasi yang kreatif, berimpak tinggi dan memberi manfaat nyata kepada jabatan.
“Kemenangan ini membuktikan JBPM Melaka bukan sahaja cemerlang di lapangan operasi tetapi juga maju dalam inovasi, teknologi, kreativiti dan komunikasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JBPM Melaka atas pencapaian cemerlang dalam Audit Penarafan 5 Bintang 2025 apabila berjaya meraih empat bintang.
“Pencapaian ini juga amat membanggakan memandangkan hanya dua negeri memperoleh lima bintang manakala JBPM Melaka berada dalam kelompok tujuh negeri yang meraih empat bintang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial