IPOH, 9 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Perak menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menurun.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan setakat petang ini sebanyak 202 mangsa daripada 62 keluarga masih ditempatkan di empat PPS di dua daerah, iaitu penurunan berbanding 411 mangsa daripada 122 keluarga pagi tadi.
Satu PPS di Dewan Komuniti Belia dan Sukan Bagan Datuk yang sebelum ini menempatkan 142 mangsa daripada 45 keluarga telah ditutup sepenuhnya pada 4 petang tadi.
Kini hanya dua daerah, iaitu Hilir Perak dan Manjung masih menempatkan mangsa banjir masing-masing di dua PPS.
Di Hilir Perak, PPS yang masih beroperasi ialah Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak dan Dewan Serbaguna IPD Hilir Perak manakala di Manjung, pusat yang beroperasi adalah Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai dan SK Kayan, Lekir.
Di SARAWAK, tiga lagi PPS dibuka di kawasan utara Sarawak menjadikan jumlah pusat beroperasi di negeri itu kepada empat PPS, dengan sebanyak 130 mangsa banjir dipindahkan setakat 6 petang tadi.
Menurut laporan Sekretariat JPBN Sarawak, PPS di Dewan Bulan Sabit Merah di Miri dibuka bermula 10 pagi tadi bagi menempatkan 29 mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Pujut Tanjung Batu.
Dua lagi PPS yang dibuka kira-kira 2 petang adalah di daerah Subis berdekatan Miri iaitu di SK Kampung Angus bagi menempatkan 11 mangsa daripada dua keluarga dan sebanyak 34 orang dari 11 keluarga berlindung di Sekolah Menengah Kebangsaan Suai Niah.
Sebelum ini, 56 mangsa dari 14 keluarga di Kampung Kemunting dan Rumah Panjang Roslind di Bintulu telah dipindahkan ke PPS Dewan Suarah Bintulu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial