AM > BERITA

MAIWP Peruntuk RM1.6 Bilion Perkukuh Agenda Kebajikan, Pembangunan Ummah Pada 2026

09/12/2025 07:36 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM1.6 bilion bagi mengukuhkan agenda kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan menerusi Bajet MAIWP 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata MAIWP menumpukan dua fokus utama dalam perbelanjaan agihan kepada asnaf iaitu kesejahteraan dan pemberdayaan asnaf serta pemerkasaan pendidikan ummah melibatkan keseluruhan RM1.354 bilion.

Beliau berkata bagi kesejahteraan dan pemberdayaan asnaf, sebanyak RM1.157 bilion diperuntukkan bagi agihan meliputi kluster kebajikan, perlindungan, perubatan, pembangunan ummah dan asnaf, wakalah dan zakat bahagian Amil.

Sementara bagi pemerkasaan pendidikan, RM197.22 juta disediakan bagi kluster pendidikan serta institusi pendidikan dan kebajikan.

“Bajet MAIWP 2026 memberikan tumpuan secara menyeluruh kepada usaha memperkukuh kesejahteraan asnaf melalui penyediaan keperluan asas serta pelaksanaan program pembangunan yang holistik bagi meningkatkan taraf hidup mereka, sama ada dari segi sosial mahupun kerohanian.

“Pada masa sama, MAIWP turut memberikan penekanan besar terhadap aspek pendidikan anak-anak asnaf bermula dari peringkat awal hingga ke menara gading agar mereka berpeluang mencapai potensi terbaik dan menjadi ejen perubahan kepada keluarga masing-masing,” katanya pada sidang media Bajet MAIWP 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Na'im berkata MAIWP memperuntukkan RM250.7 juta bagi perbelanjaan mengurus merangkumi aktiviti operasi dan pengurusan MAIWP dan RM73.65 juta dana bagi tujuan pembangunan merangkumi aktiviti fizikal pembangunan hartanah, pembelian aset dan pelaburan yang dapat memberi kesejahteraan kepada ummah.

Beliau berkata Bajet MAIWP 2026 bertemakan “Kesejahteraan Ummah” digubal secara berhemah dan realistik dengan tumpuan untuk memastikan setiap perbelanjaan memberi pulangan terbaik kepada rakyat, selain tiada pengurangan program atau inisiatif.

Mohd Na'im berkata peruntukan perbelanjaan yang besar itu mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta isu miskin bandar khususnya di Wilayah Persekutuan yang menjadi keutamaan MAIWP.

“Pendapatan isi rumah semasa yang tidak setimpal dengan kenaikan kos perbelanjaan isi rumah memberikan kesan signifikan kepada kelangsungan hidup masyarakat khususnya golongan dalam kalangan asnaf di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata pendapatan MAIWP bagi 2026 dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion, meningkat 9 peratus berbanding anggaran pendapatan MAIWP pada tahun ini yang berjumlah RM1.5 bilion.

Beliau berkata MAIWP telah menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM1.37 bilion pada tahun depan, selain pendapatan daripada aktiviti sewaan, yuran pengajian, pelaburan dan geran daripada Kementerian Kewangan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan