AM > BERITA

MELP Energy Hunt 2025 Perkukuh Literasi Tenaga Melalui Pengalaman Interaktif

09/12/2025 08:39 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Program MELP Energy Hunt 2025 berlangsung meriah dengan penyertaan 120 peserta melibatkan 30 pasukan sekali gus menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap usaha memperkukuh kefahaman isu tenaga dalam kalangan masyarakat.

MELP dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berkenaan dirangka bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu, selain menggalakkan pembelajaran interaktif dan menyeronokkan berkaitan tenaga serta kelestarian alam.

“Inisiatif ini turut bertujuan memupuk budaya penggunaan tenaga secara bijak dalam komuniti dan memperkukuh hubungan MELP dengan masyarakat melalui program pendidikan tenaga,” menurut MELP, yang merupakan platform pendidikan dan kesedaran tenaga.

MELP memaklumkan penganjuran tahun ini turut menyaksikan kerjasama julung-julung kali bersama dengan rakan Pengeluar Kuasa Bebas (IPP) dan Utiliti Kuasa Bebas (IPU) melibatkan tiga kategori, iaitu Khas MELP, pelajar universiti dan media dengan penyertaan wakil media, penulis blog dan Key Opinion Leaders (KOL) yang berperanan memperluas penyebaran maklumat berkaitan literasi tenaga.

Selain itu, MELP menyifatkan kreativiti dan capaian pengaruh digital kumpulan itu sebagai nadi kepada penerusan kempen kesedaran tenaga menerusi kandungan visual, foto serta video yang lebih mudah diakses oleh masyarakat umum.

Menurut kenyataan itu, perlumbaan bermula dengan pelepasan peserta di Lobi Utama Plaza Sentral sebelum peserta melalui cabaran fizikal dan mental di beberapa lokasi termasuk Petrosains KLCC (Misi Peralihan Tenaga), River of Life (Watt’s The Limit & Kuasa Perkasa), Walk A Hunt di sekitar River of Life ke Masjid Jamek dan Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur sebagai lokasi penamat.

Antara cabaran disertai ialah mengenal pasti jenis sisa harian di rumah bagi meningkatkan kesedaran gaya hidup rendah karbon, menyusun puzzle berkaitan peralihan tenaga petrol ke kenderaan elektrik dan mengesan cara menjimatkan elektrik melalui Zon Rumah Pintar.

Selain itu, peserta perlu menjawab kuiz tenaga dan keselamatan pengurusan tenaga, menyelesaikan soalan Walk A Hunt bertemakan Tenaga Bersih di River of Life dan Masjid Jamek serta tugasan media sosial melalui foto dan video berdasarkan lokasi dan tema tugasan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis itu berkata penyertaan yang menggalakkan ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh literasi tenaga di Malaysia.

Beliau berkata program berkenaan bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang tenaga boleh baharu, malah turut mendorong pembelajaran interaktif dan menyeronokkan berhubung kelestarian alam.

“Program ini dirangka untuk mencapai beberapa objektif penting termasuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu, serta menggalakkan pembelajaran interaktif dan menyeronokkan berkaitan tenaga dan kelestarian alam.

“Inisiatif ini juga bertujuan memupuk budaya penggunaan tenaga secara bijak dalam komuniti dan mengukuhkan hubungan MELP dengan masyarakat melalui pendidikan tenaga,” katanya yang turut berharap program itu dapat memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dengan pihak industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan