KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha mempererat persahabatan Malaysia dan Singapura antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata perbincangan turut menyentuh mengenai langkah untuk memperkukuh kerjasama dalam menyelesaikan isu tertunggak melibatkan kedua-dua negara.
“Saya amat menghargai kunjungan Perdana Menteri Lawrence yang menjadi manifestasi persahabatan kedua-dua negara, di samping memperteguh hubungan peribadi antara kami.
“Semoga pertemuan ini serta keberkatan Ramadan terus menyuburkan persefahaman dan kemakmuran berpanjangan kepada rakyat Malaysia dan Singapura,” katanya.
Perdana Menteri turut menyifatkan pertemuan dengan Wong cukup bermakna kerana ia berlangsung di sebuah rumah agam berusia lebih seabad yang juga saksi kepada pelbagai detik penting sejarah, termasuk pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 serta Perjanjian Kemerdekaan pada 1957.
“Saya dan PM Lawrence meneruskan coretan sejarah ini dalam pertemuan selama hampir tiga jam.
“Kami sempat meninjau serta mendengar penerangan mengenai sejarah dan usaha pemuliharaan Seri Negara menerusi inisiatif Warisan Kuala Lumpur,” katanya.
Pada pertemuan itu, Anwar turut menganjurkan majlis makan malam sempena lawatan Wong.
Wong yang tiba di Malaysia pada 4.05 petang, berlepas pulang malam ini selepas menamatkan lawatan khas ke Malaysia.
Kementerian Luar dalam kenyataan semalam memaklumkan kedua-dua perdana menteri dijangka membincangkan kerjasama dua hala dan isu kepentingan bersama termasuk hasil pemukiman pemimpin pada 4 Dis lepas.
Singapura ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM402.35 bilion (USD93.97 bilion) pada 2025, meningkat 1.5 peratus berbanding 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial