<
span style="font-size:14px">Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kerinduannya terhadap makanan Malaysia sepanjang mengikuti pengajian di luar negara namun kecewa dengan apa yang ditemukan, membakar semangat Nur Dayana Wong untuk mengumpul dan membukukan resipi kudapan kegemarannya, membuahkan "Penang Makan".
Lebih membanggakan, usaha sulung wanita berusia 32 tahun itu berjaya memikat hati para juri 27th Gourmand Awards di Sweden awal bulan ini yang menobatkan buku masakan beliau sebagai pemenang kategori makanan jalanan, mengatasi pengolah resipi antaranya institut kulinari China, Future Food Studio menerusi “Shanghai Jianbing Street Food”, "Comida Callejera Guatemala”, "Bak Fritay” (Haiti) dan “My Street Food Kitchen” dari United Kingdom (UK).
Buku masakan Dayana dinobatkan sebagai pemenang kategori makanan jalanan yang dipertandingkan di 27th Gourmand Awards, Sweden.
Berkongsi perjalanan buku itu dengan Bernama baru-baru ini, anak jati Pulau Pinang tersebut berkata beliau mula mengumpul resipi selepas menamatkan pengajian Sarjana Sains dalam Perniagaan Antarabangsa di Hult Business School, London, UK.
“Boleh dikatakan menulis buku ini adalah impian saya sejak kecil dan minat itu semakin membara semasa belajar di London kerana amat sukar untuk dapatkan buku resipi makanan Pulau Pinang yang sebenar di sana,” katanya.
Anak kepada pasangan Melayu-Tionghua, Hayati Ismail dan Azman Wong Abdullah, itu menyifatkan minatnya terhadap makanan dipupuk oleh ibu bapanya, terutama ibu yang mengajarnya memasak sejak beliau kecil.
Malah kata Dayana, antara kenangan terindahnya ketika remaja berkisar sekitar aktiviti memasak dan makan bersama-sama keluarga dan orang tersayang.
OLAH BAHAN
Nur Dayana Wong, penulis buku "Penang Makan".
Bercerita lanjut, wanita itu berkata sejurus tamat pengajian di UK pada 2017, beliau kembali ke Pulau Mutiara dan bekerja dengan sebuah syarikat sebelum berhenti pada 2019 untuk membantu perniagaan keluarga.
"Saya mula berkunjung ke gerai-gerai kegemaran saya. Saya tidak minta resipi daripada mereka, sebaliknya saya makan dan cuba kenal pasti bahan yang digunakan dalam masakan itu,” ujarnya.
Menurutnya, beliau kemudian mengolah semula makanan tersebut berdasarkan pengetahuannya tentang bahan masakan.
“Kemudian pandemik menular dan saya manfaatkan tempoh ini untuk terus mengumpul serta mencuba resipi yang diperoleh dengan bantuan ibu,” jelasnya, menambah resipi yang menepati seleranya akan direkodkan untuk dihimpun bersama-sama resipi lain.
Dayana yang juga berkelulusan sarjana muda dalam bidang ekonomi daripada University of Toronto, Kanada, berkata pada November 2021, usaha tanpa jemu beliau direalisasikan menerusi Penang Makan yang mengandungi lebih 50 resipi kudapan kegemarannya dan kebanyakan rakyat Malaysia.
CUCUR UDANG ISTIMEWA DI HATI
Rasa cinta Dayana terhadap makanan Pulau Pinang dizahirkan dalam bukunya.
Resipi pertama yang diolah Dayana adalah cucur udang yang merupakan makanan kegemarannya.
Menurut wanita itu, kudapan minum petang yang lazimnya dijual oleh penjaja menggunakan kereta sorong di tepi-tepi jalan di Pulau Pinang itu boleh ditemukan dalam tiga versi, iaitu Melayu, Cina dan India.
“Cucur udang ini ringkas sahaja, namun mampu membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak, iaitu ketika saya berusia kira-kira empat tahun bersama-sama nenek dan datuk sebelah ibu. Nenek selalunya menyediakan cucur udang untuk minum petang.
"Selepas datuk selesai beriadah di kebun, kami akan menikmati minum petang. Atuk akan asingkan udang dan beri kepada saya, sementara dia hanya makan cucur kosong. Pada masa itu saya rasa sangat disayangi dan menjadi antara kenangan yang tidak dapat saya lupakan,” ujarnya, menambah setiap kali menjamah cucur udang, beliau akan teringat kepada arwah datuknya.
Menyifatkan cucur udang sebagai antara resipi dalam “Penang Makan” yang paling mudah disediakan, Dayana berkata snek tersebut masih disediakan oleh ibunya setiap kali beliau pulang dari luar negara.
“Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, saya dapat bau cucur udang,” katanya, menambah hingga kini beliau akan teringatkan kampung halaman setiap kali tercium aroma cucur udang.
Bercerita tentang variasi cucur udang, menurut Dayana, cucur udang versi Melayu berbentuk bulat dan ranggup di bahagian tepi namun lembut di dalam.
“Udang pula masih berkulit, sama ada diletak seekor atau dicencang sebelum dicampur dalam adunan dan digoreng celur. Versi Cina atau Peranakan pula adalah seperti wafer ranggup dengan udang yang dibuang kulit diletakkan di atas cucur.
“Versi India atau Mamak biasanya diletak di dalam pasembur, berbentuk segi empat panjang dan mengandungi hirisan bawang dan daun bawang, sementara udang juga tidak dibuang kulit,” jelasnya.
PROGRAM MASAKAN
Buku resipi kategori makanan jalanan, "Penang Makan" berjaya menewaskan persaing-pesaing dari pelbagai negara.
Ditanya sama ada beliau berminat untuk terlibat dalam program masakan bagi mempromosikan makanan Malaysia kepada dunia, Dayana berkata beliau mempunyai impian untuk menyertai program sedemikian, khususnya yang mempromosi makanan etnik di Malaysia.
“Saya membesar menonton rancangan masakan, sudah tentu saya gembira jika ditawarkan program seperti itu, namun setakat ini belum ada rezeki,” katanya, menambah beliau gemar menonton rancangan masakan kelolaan, antaranya Chef Wan, Denise Keller, Nigella Lawson dan Anthony Bourdain.
Menggambarkan dirinya sebagai penggemar masakan rumah yang mahu memelihara warisan dan legasi Pulau Pinang, Dayana berkata buat masa ini beliau sedang mempromosikan makanan Malaysia di Belgium dengan kerjasama Duta Malaysia ke Belgium Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani selain terlibat program promosi di Eropah bersama-sama Majlis Minyak Sawit Malaysia.
“Kami berterima kasih atas sokongan dan galakan yang diterima untuk mempromosikan warisan budaya Malaysia ini. Selepas ini bolehlah kita anjurkan acara sebegini dan dapatkan pengedar yang boleh memasarkan buku masakan kita ke seluruh dunia,” katanya.
MAKANAN ZAHIRKAN RASA SAYANG
Dayana mengolah semula makanan kegemaran berdasarkan pengetahuannya tentang bahan masakan.
“Saya mahu orang ramai terus memasak cara tradisional tidak kira di mana mereka berada. Pendek kata, walaupun kita kini gunakan perkakas moden, pada asasnya (dengan berpandukan resipi) kita masih memasak tanpa guna perencah segera,” jelasnya.
Melalui buku masakannya, Dayana berkata generasi muda boleh belajar tentang ramuan dalam masakan, mengenali lengkuas, belacan dan gula melaka, misalnya.
“Rasa cinta saya terhadap makanan Pulau Pinang dizahirkan dalam buku ini. Kalaulah buku seperti ini ada semasa saya belajar di luar negara, (maka terubatlah rindu saya kepada makanan Malaysia),” ujarnya.
Mengenai kemenangannya, wanita itu berkata beliau berasa bangga dengan pencapaian tersebut memandangkan saingannya bukan calang-calang.
“Kemenangan ini meningkatkan keyakinan saya bahawa buku masakan saya dan juga makanan Malaysia setanding dengan juadah negara lain,” tambahnya.
BERNAMA