<
span style="font-size:12pt">Industri khat al-Quran yang bernilai tinggi dijadikan ‘lubuk emas’ oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan, sekali gus mencemarkan kemuliaan agama Islam dan ini didedahkan dalam bahagian satu satu laporan khas mengenai isu tersebut.
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Keindahan seni khat al-Quran, baik karya yang digantung menghiasi dinding kediaman ataupun diukir pada kubah masjid, boleh menyejukkan mata yang memandang dan memberi ketenangan kepada pencintanya.
Justeru, ada yang tidak kisah berbelanja besar hingga ratusan ribu ringgit demi mendapatkan karya yang indah untuk dipamerkan dan dihayati pada setiap masa luang, sekali gus membentuk pasaran khusus bernilai tinggi dengan karya dijual menerusi pelbagai platform termasuk media sosial dan e-dagang.
Hal ini diakui oleh beberapa pakar dan penulis khat terkemuka tanah air yang dihubungi Bernama, dengan kebanyakannya bersetuju bidang seni itu menjanjikan peluang kerjaya yang cerah dan lumayan bagi penggiatnya.
Cetakan kaligrafi Al-Quran di atas kasut adalah salah disisi undang-undang. www.moha.gov.my
Namun begitu, tidak kurang pula yang melahirkan kebimbangan tentang eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan, sementara kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran yang merupakan mukjizat Nabi Muhammad SAW itu dikesampingkan.
Kebimbangan pakar terbabit ada asasnya kerana sejak kebelakangan ini banyak karya khat yang dijual di pasaran didapati mengandungi kesalahan pada ayat-ayat al-Quran yang digunakan. Malah, surau dan masjid juga tidak terkecuali daripada isu ini.
Malangnya, bak kata pepatah hanya jauhari mengenal manikam, kesilapan pada ayat-ayat al-Quran dalam seni khat ini hanya boleh dikesan oleh pakar.
BEGITU BERLELUASA
Zulhazmi Zakaria, Penulis Khat dan Ahli Lajnah Tashih al-Quran di Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Masalah ini diakui oleh Zulhazmi Zakaria, antara penulis khat terkemuka dan ahli Lajnah Tashih al-Quran di Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sering dirujuk oleh penguat kuasa dalam operasi serbuan membabitkan karya khat di negara ini.
Beliau yang telah berkecimpung dalam bidang penulisan khat sejak 17 tahun lepas, turut mengesahkan banyak karya khat yang mengandungi kesalahan ejaan dan penandaan dijual secara berleluasa di tempat tumpuan umum, antaranya Nilai 3 di Negeri Sembilan serta kedai-kedai perhiasan dalaman rumah dan juga platform dalam talian.
"Kebanyakan produk sebegini datang dari luar negara seperti China dan Pakistan apabila penghasil, penjual karya ini majoritinya menggunakan bahan cetakan tidak berkualiti sekali gus menyebabkan tulisan cepat pudar selain terdapat begitu banyak kesalahan ejaan pada ayat.
"Ada juga karya khat yang kita sita ketika operasi serbuan tidak menggunakan tulisan khat yang muktabar (khat yang boleh diterima pakai) selain tulisan khatnya tidak boleh dibaca atau difahami langsung sehingga boleh mengelirukan pembeli,” katanya kepada Bernama.
Menyedihkan lagi kata beliau, ada produk yang tidak sepatutnya dihiasi khat ayat al-Quran dan nama-nama Allah seperti sejadah, tapak kasut dan alas kaki, turut ditemukan dijual secara berleluasa.
Menurutnya, keadaan itu berlaku disebabkan ada permintaan tinggi terhadap produk perhiasan khat namun tidak ramai yang celik ilmu tersebut, sekali gus membuka ruang eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Malah katanya masalah kesalahan pada ayat al-Quran dalam seni khat itu bukan hanya membabitkan produk picisan yang murah harganya tetapi juga karya berharga ratusan dan ribuan ringgit yang kebanyakannya diimport.
Karya-karya khat yang dikesan ada kesilapan itu akan dilupuskan dan ini pastinya merugikan pembeli, jelasnya.
SUKAR KAWAL
Dr Abd Rahman Hamzah, Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK)
Mengulas mengenai penjualan berleluasa karya khat yang mengandungi pelbagai kesalahan itu, Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK) Dr Abd Rahman Hamzah berkata isu tersebut sukar dikawal, apatah lagi yang dijual secara dalam talian.
“Masalah penjualan dalam talian ini ialah kita sukar mengenal pasti penjualnya, kerana ada kemungkinan dijual oleh orang bukan Islam yang ingin mengaut keuntungan. Namun, jika ada orang Islam sendiri yang terlibat, keadaan ini memang amat mengecewakan.
“Sebagai orang Islam, mereka sepatutnya bertanggungjawab menjaga kemuliaan al-Quran dan ingatlah bahawa Allah tidak akan mensia-siakan usaha mereka yang memelihara al-Quran dan takutlah juga laknat Allah jika ada karya yang kita jual terdapat kesalahan ejaan yang mencacatkan makna dan ayat tersebut,” tegasnya.
Situasi ini dilihat semakin meruncing kerana dikatakan ada pengusaha tidak menggunakan khidmat pakar khat, sebaliknya sekadar menghasilkan semula imej khat yang ditemukan dalam carian menerusi Internet.
Abdul Wahab Khalid, Setiausaha Agung PSKK
Setiausaha Agung PSKK Abdul Wahab Khalid berkata keadaan ini membimbangkan kerana karya yang ditiru itu tidak diketahui kesahihannya selain penghasilan semula mungkin tidak sesempurna karya asli yang dihasilkan oleh pakar yang mempunyai kemahiran dan ilmu khat.
“Saya dapati ada yang terlibat dalam industri ini bukan ahli khat sepenuh masa serta ada yang tidak belajar seni khat secara intensif, sebaliknya tiru bulat-bulat karya yang ditemukan dalam Google.
“Mereka nampak potensi industri ini begitu tinggi, menyebabkan ada yang sanggup berkolaborasi dengan rakan-rakan yang mempunyai kemahiran grafik, rekaan (untuk menghasilkan semula karya khat demi mengaut keuntungan),” katanya.
Beliau juga mendedahkan PSKK sering menerima aduan orang awam tentang karya khat di masjid dan surau yang dipenuhi pelbagai kesalahan pada ayat al-Quran yang dipetik.
Menyifatkan perkara itu berlaku disebabkan kurang kawalan oleh pihak berwajib, Abdul Wahab menamakan beberapa kes yang pernah diterima oleh persatuan, antaranya ukiran khat ayat al-Quran di dewan solat sebuah masjid di Marang, Terengganu.
KONTRAKTOR MENIPU?
Antara contoh kaligrafi Al-Quran tidak mengikut displin dan kaedah khat. www.moha.gov.my
"Apabila kami tiba di sana dan membuat tinjauan, memang benar terdapat beberapa kesalahan utama pada ukiran ayat al-Quran, Surah al-Fatihah di ruang mihrab, iaitu tertambah huruf tidak sepatutnya pada bahagian ayat tertentu. Begitu juga di panel lain di ruang sama iaitu tertinggal titik dan tertambah huruf.
“Kesalahan sama turut dijumpai di masjid lain yang dibangunkan oleh kontraktor sama, dan ini dikenal pasti menerusi tauqi’ (tandatangan) penulis khat pada akhir ayat yang dikesan mengandungi kesalahan itu,” katanya.
Menurutnya, soal selidik bersama pihak pengurusan masjid mendapati kontraktor tidak memaklumkan dengan jelas tentang individu yang bertanggungjawab mengukir ayat-ayat al-Quran tersebut, sementara pihak pengurusan masjid pula hanya dibenarkan bertugas semula selepas proses ubah suai masjid siap sepenuhnya.
Berdasarkan insiden itu, PSKK percaya mungkin ada banyak lagi ayat sama digunakan dalam seni khat di masjid lain yang membabitkan individu tersebut.
Mengulas lanjut, Abdul Wahab berkata pihaknya baru sahaja menerima laporan tentang kesilapan kalimah syahadah gaya kufi murabba’ (kufi petak) di dinding depan sebuah surau hospital di Selangor, apabila huruf ‘lam’ dikatakan terputus dengan 'ha’ dalam ayat ‘ilaha'.
“Kesalahan ini tidak sepatutnya berlaku kerana itu adalah asas sambungan huruf, dan kesilapan ini membuatkan keseluruhan makna kalimah syahadah sudah berubah maksudnya.
“Kami amat mengharapkan kontraktor hiasan dalaman masjid dan surau mengambil serius mengenai isu ini supaya tidak berulang lagi pada masa depan, dan sewajarnya mereka rujuk dahulu kepada pihak berkuasa agama negeri atau pakar seni khat sebelum sesuatu projek hiasan kaligrafi dilaksanakan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pegawai masjid di Senai, Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz Ezad, berkongsi kisah pihak masjid terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 bagi membetulkan ukiran khat ayat al-Quran di bahagian bawah kubah masjid.
Katanya, pihak masjid terpaksa memanggil kembali tukang ukir berkenaan bagi membetulkan susunan ayat 12 hingga 18 Surah al-Mukminun yang didapati berterabur.
WUJUDKAN BAHAGIAN KHAS
Salah sambungan huruf sehingga tertukar huruf dzal kepada huruf zai. www.moha.gov.my
Menurutnya, pihak masjid hanya menyedari kesalahan itu baru-baru ini selepas menerima aduan orang ramai.
Perkara itu kemudian dirujuk kepada Jabatan Mufti Johor yang membuat semakan sebelum mengarahkan pihak masjid memanggil semula pengukir bagi membuat pembetulan.
"… sebenarnya pihak pengurusan masjid tidak bertugas ketika proses ukiran, sekali gus menyukarkan pemantauan,” jelasnya.
Bagi membendung isu ini daripada terus membarah, Abd Rahman mencadangkan pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam negeri mewujudkan satu bahagian khas kaligrafi yang bertanggungjawab menyemak tashih karya khat al-Quran khususnya yang dihasilkan pada dinding bangunan.
"Bahagian khas ini juga diharap dapat membantu pihak jabatan memantau kerja mengukir khat ayat al-Quran di masjid.
“Kami juga mencadangkan pihak kontraktor harus dipertanggungjawabkan membaiki semula ukiran khat yang salah, dan sekiranya mereka mengagihkan tugas tersebut kepada subkontraktor, maka kontraktor asal perlu membayar ganti rugi,” katanya.
Beliau juga menasihati pengusaha karya khat al-Quran agar berhati-hati dalam menghasilkan karya atau hanya mengambil produk daripada sumber yang dipercayai bagi mengekalkan aspek kerohanian dan ketinggian ayat-ayat suci al-Quran.
Ini kerana kata beliau, keindahan sesebuah karya khat tidak bermakna sekiranya terdapat kesalahan yang boleh mengubah makna ayat, sekali gus merosakkan nama baik industri seni khat khususnya.
"Karya khat ada rohnya tersendiri kerana apabila kita memandangnya, hati boleh berasa tenang. Akan tetapi, bagaimana kita boleh berasa tenang sekiranya nak membaca atau melihat karya khat yang terdapat kesalahan?
“Kerana itu kami cadangkan supaya mewajibkan penggiat meletakkan tandatangan mereka pada setiap karya yang dihasilkan bagi memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti individu yang berkenaan untuk membolehkan dia membuat pembetulan pada karyanya yang dikesan mengandungi kesalahan,” ujarnya.
Ini kerana katanya ada kemungkinan penggiat juga tidak sedar akan kesilapan yang dilakukan dan teguran daripada pakar dapat membantu mereka menambah baik kelemahan.
-- BERNAMA