Slogan 'Sabah Maju Jaya' Pegangan Kerajaan Negeri Basmi Miskin Tegar

S
abah, Negeri di Bawah Bayu yang kaya dengan kepelbagaian budaya warisan 35 etnik serta banyak khazanah alam semula jadi, masih berdepan satu cabaran yang sudah lama menjajah dan membarah iaitu kemiskinan tegar.

Namun, sinar harapan untuk membasmi kemiskinan tegar ini mula menyerlah sementelah pelbagai inisiatif baharu dan pendekatan segar sedang diperkenalkan, semuanya bertujuan untuk memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat Sabah yang paling terpinggir.

Harapan mula menggunung tinggi seiring dengan pelbagai program yang diperkenalkan untuk memutuskan kitaran kemiskinan ini dengan rakyat diberikan pekerjaan, modal untuk berniaga dan rumah mesra rakyat untuk didiami.

Apa yang dilakukan ini bukan sekadar bantuan sementara, tetapi usaha jangka panjang yang menyasarkan akar umbi dengan langkah utama termasuk pembangunan komuniti yang lebih lestari.

 

MENGUBAH KEHIDUPAN

Jominus Sumin, 44, suku kaum Dusun dari Tuaran adalah contoh hidup bagaimana ketekunan dan usaha keras boleh mengubah nasib seseorang.

Dahulu, lelaki itu termasuk dalam golongan miskin tegar. Pelbagai cabaran getir yang perlu dihadapi dan dia hanya mampu menyara keluarganya dengan melakukan pelbagai kerja kampung dan menjual barangan lusuh. Dengan pendidikan setakat sekolah rendah, hanya itulah sahaja cara yang boleh dilakukan untuk mencari rezeki.

Pasar Tamu di Kudat merupakan inisiatif penting dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi penduduk tempatan dan membantu penduduk di daerah itu keluar dari cengkaman kemiskinan tegar.

Namun Jominus bukanlah seorang yang semata-mata menyalahkan takdir. Dia tahu, jika dia mahu keluarganya hidup lebih baik, dia perlu mencari jalan keluar dari kitaran kemiskinan ini, maka ‘peluang’ yang datang mengetuk pintu rumahnya tidak dilepaskan.

“Ada orang kerajaan datang kampung tanya minatkah kerja di kilang, mahu buka dekat sini. Saya terus ambil, tiada masalah kerja apa kerana saya daripada kecil sudah biasa kerja berat angkat barang,” katanya.

Ternyata nasibnya berubah apabila dia berjaya mendapat pekerjaan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu di sini. Peluang ini datang pada masa yang tepat, sekitar dua tahun lepas dan Jominus kini tidak menoleh ke belakang, tekun membanting tulang demi mengubah kehidupannya.

“Pekerjaan ini berikan pendapatan yang lebih stabil, cukuplah untuk bagi isteri dan empat anak. Kehidupan itu berubah, perlahan tetapi nampak ada harapan lagi bagus. Sekarang saya sedang kumpul duit mahu besarkan rumah kecil ini kepada rumah lebih selesa,” katanya yang memperoleh gaji sekitar RM2,000 sebulan. 

Sudah semestinya anak-anak Jominus berasa riang kerana dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, sesuatu yang sebelum ini sekadar mimpi. Jominus pula masih meneruskan usaha mengumpul barangan lusuh pada waktu lapangnya, walaupun sudah bekerja di kilang. Apa yang dilakukannya itu bukan sekadar menambah pendapatan, tetapi juga satu cara untuk memastikan dia dan keluarganya sentiasa mempunyai sedikit simpanan untuk masa-masa sukar.

Dengan pendapatan yang lebih stabil, Jominus dan keluarganya kini dapat menikmati kemudahan yang sebelum ini di luar jangkauan mereka. Mampu membeli makanan yang lebih baik, membayar yuran sekolah anak-anak dengan lebih mudah, dan malah boleh menabung untuk masa depan.

 

TIDAK MENYERAH

Beralih pula kepada kisah kehidupan seorang wanita suku kaum Bajau Samah dari Papar, Hafizah Sapi. Mendengar ceritanya begitu menyayat hati apabila kehilangan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori lapan tahun lalu.

Suaminya adalah pencari nafkah utama, dan selepas kematiannya akibat sakit jantung pada usia sekitar 33 tahun, Hafizah terpaksa melakukan pelbagai kerja, antaranya menjahit pakaian untuk kelangsungan hidupnya dan dua orang anak, ketika itu masing-masing berumur 11 tahun dan sembilan tahun. Hidup mereka sangat mencabar, terperangkap dalam kemiskinan tegar tanpa sebarang kepastian tentang masa depan.

Namun, keperitan hidup mengajar Hafizah menjadi tabah dan tidak terus menangisi kematian suaminya. Lebih dua tahun yang lalu, dia mendapat bantuan permulaan sebanyak RM1,000 daripada kerajaan negeri untuk memulakan gerai makanan secara kecil-kecilan. Hafizah, 36, berniaga di Tamu Papar dan pasar malam sekitar daerah itu.

“Dengan modal yang ada, ditambah bantuan tu, saya mula bina perniagaan dari bawah, bukan mudah asalnya tetapi ada anak dua orang tolong saya. Gerai ini banyak berjasa bantu saya keluar daripada kesusahan hidup,” katanya dengan nada sebak.

Bermula dari gerai kecil, Hafizah menjual pelbagai produk kelapa seperti kuih-muih tradisional berasaskan kelapa, dan air kelapa muda juga santan kelapa dengan hasil jualan kira-kira RM300 sehari.

Pembangunan semula Gerai Kelapa Bakar di Tuaran amat dikenali dalam kalangan pelancong merupakan inisiatif penting kerajaan Sabah meningkatkan tahap ekonomi penduduk tempatan.

Sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Perlahan-lahan, pendapatannya mula meningkat dan Hafizah dapat melihat perubahan besar dalam kehidupan mereka. Kini, dia boleh menyediakan keperluan yang lebih baik untuk anak-anaknya tanpa perlu risau.

Gerai kecil itu tidak hanya menjadi sumber pendapatan, tetapi juga memberi Hafizah keyakinan dan kekuatan untuk terus maju. Setiap hari, dia bekerja keras untuk memastikan perniagaannya terus berkembang.

Dengan sokongan pelanggan tetap dan kualiti produknya yang terjaga, Hafizah berjaya membuktikan bahawa dia mampu keluar dari belenggu kemiskinan tegar, meskipun bermula dengan modal yang kecil.

Kisah Jominus dan Hafizah adalah bukti bahawa walaupun keadaan hidup seseorang itu sukar, dengan ketekunan dan peluang yang betul, nasib boleh berubah.

 

MEMBUKA PELUANG

Bertanya tentang apa yang diperlukan untuk mengeluarkan penduduk Sabah daripada kemiskinan tegar, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberikan jawapan ringkas tetapi penuh makna, "peluang." Bagaikan getar dalam jiwanya, kenyataan tampak mudah tetapi penuh tanggungjawab besar.

Hajiji berkongsi satu cerita peribadi kepada penulis. Beliau bertemu dengan seorang anak muda dari Sabah yang bekerja sebagai pelayan restoran di sebuah hotel di Kuala Lumpur. "Anak ini muda lagi, dan saya terkejut bila tahu dia mempunyai ijazah sarjana muda daripada universiti," katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditemubual penulis baru-baru ini.

Hati Hajiji bagai ditusuk mengetahui pemegang ijazah tersebut terpaksa meninggalkan kampung halamannya untuk mencari rezeki di kota raya besar kerana tiada peluang pekerjaan sesuai di Sabah. Ini anak Sabah berpendidikan, bagaimana pula peluang untuk berpendidikan rendah atau tiada pendidikan.

Cerita anak muda itu bukan asing, malah kisah sering kali didengari.

Berdasarkan analisis agensi kerajaan negeri, daripada 9,356 ketua isi rumah miskin tegar yang disoal selidik, sebanyak 42 peratus tidak mempunyai kelulusan akademik. Manakala 36 peratus memiliki pendidikan setakat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Akan tetapi, pada masa sama, mereka yang berkelulusan tinggi juga sukar mendapat pekerjaan, apatah lagi kelompok miskin tegar yang tidak berpelajaran.

Justeru, Hajiji bertekad untuk membawa masuk lebih banyak pelaburan ke negeri Sabah. Pelaburan ini bukan sahaja untuk merancakkan ekonomi, tetapi juga untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada anak-anak Sabah.

"Petronas adalah satu syarikat yang saya sendiri bincang untuk memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak Sabah," jelas Hajiji. Tidak lama dahulu, perjanjian kerjasama Commercial Collaboration Agreement (CCA) telah ditandatangani, membuka jalan untuk lebih banyak peluang ekonomi di negeri ini.

Di samping itu, pelaburan besar seperti RM3 bilion oleh SBH Kibing Solar dari China untuk membuka kemudahan pembuatan kaca solar berkualiti tinggi di KKIP juga menjadi bukti komitmen Hajiji dalam merealisasikan impian tersebut.

Pelaburan oleh SK Nexilis dari Korea Selatan yang bernilai RM4.2 bilion untuk kemudahan pembuatan keranjang tembaga juga merupakan usaha penting dalam meningkatkan ekonomi Sabah, antara lain bakal menyediakan 400 peluang pekerjaan dengan sasaran 80 peratus diisi anak tempatan negeri ini.

Dengan lebih banyak peluang yang terbuka, harapan untuk mengeluarkan Sabah dari terowong gelap kemiskinan tegar semakin menampakkan cahaya di hujung terowong.

 

MENYELARAS BANTUAN

Menurut Hajiji, Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) kini memainkan peranan penting sebagai urus setia Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah. Mereka bertanggungjawab untuk menyelaraskan data ketua isi rumah miskin tegar dan memastikan bantuan yang diterima adalah bersesuaian.

Kerjasama antara 27 agensi pemberi bantuan, termasuk 10 kementerian negeri Sabah dan sembilan agensi Kerajaan Negeri, adalah penting dalam memastikan bantuan yang diberikan dapat sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Untuk memastikan bantuan diberikan dengan tepat, kerajaan negeri membangunkan 13 indikator untuk menentukan kesahihan status miskin tegar. Ini adalah langkah penting untuk memastikan bantuan yang diberikan benar-benar memberi kesan kepada golongan sasaran,” katanya.

Sejak bermulanya gerak kerja Sekretariat Sabah Maju Jaya dan agensi-agensi pemberi bantuan, sebanyak 45,998 intervensi dan bantuan diberikan kepada ketua isi rumah dan ahli isi rumah miskin tegar. Ini adalah usaha berterusan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Salah satu teras utama Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah adalah dengan menyediakan bantuan perumahan melalui Program Rumah Mesra SMJ. Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan 20 unit rumah setiap tahun bermula tahun 2022.

Sehingga kini, kata beliau, sebanyak 1,709 unit rumah disiapkan dan diserahkan kepada isi rumah miskin tegar. Ini adalah langkah besar dalam memastikan golongan miskin tegar tidak lagi terpinggir dari arus pembangunan.

Pelaburan oleh SK Nexilis dari Korea Selatan yang bernilai RM4.2 bilion di Taman Perindustrian Kota Kinabalu dijangka bakal menyediakan 400 peluang pekerjaan dengan sasaran 80 peratus diisi anak tempatan negeri ini.

Selain itu, seramai 264 ketua isi rumah menerima bantuan baik pulih rumah di bawah seliaan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP), satu lagi usaha untuk memperbaiki keadaan hidup mereka yang memerlukan.

Dalam bidang pekerjaan, sebagai satu inisiatif membasmi kemiskinan tegar, lebih 300 ketua isi rumah dan ahli isi rumah diberi peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan, syarikat berkepentingan kerajaan, dan pemain industri. 

Di samping itu, bantuan pendidikan juga tidak dilupakan. Kerajaan negeri memberikan Bantuan Pendaftaran IPT Secara One-Off melibatkan 5,767 ahli isi rumah yang menyambung pengajian di peringkat pengajian tinggi. Bantuan ini bertujuan mengurangkan beban kewangan mereka.

Sebanyak 6,737 ahli isi rumah miskin tegar menerima Bantuan Khas Tunai Peperiksaan untuk menghadapi peperiksaan SPM dan STPM, usaha untuk memastikan mereka mempunyai peluang yang sama dalam bidang pendidikan.

Bantuan Ihsan Komputer juga diberikan kepada 710 ahli isi rumah yang sedang melanjutkan pendidikan di pengajian tinggi, satu langkah bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam era digital.

Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri Sabah turut memberi manfaat kepada 2,865 bayi kelahiran Sabah, sebagai satu inisiatif untuk memastikan generasi masa depan Sabah mempunyai peluang yang lebih baik.

Di bawah bantuan kebajikan, seramai 4,266 golongan miskin tegar di Sabah menerima bantuan kebajikan melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA). Bagi meningkatkan kualiti hidup mereka, elaun bantuan kebajikan ini akan dinaikkan daripada RM350 kepada RM600.

 

SINAR HARAPAN

Hajiji berkata intervensi bantuan daripada Kerajaan Persekutuan juga memainkan peranan besar dalam menurunkan angka kemiskinan tegar di Sabah. Sebagai contoh, seramai 18,494 ketua isi rumah dalam senarai e-Kasih menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi tahun 2024.

Bagi Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), seramai 487 ketua isi rumah menerima bantuan, yang meliputi pelbagai program keusahawanan yang dilihat antara langkah penting untuk memastikan mereka dapat meningkatkan pendapatan mereka sendiri.

Dalam memperkasakan bidang keusahawanan, seramai 3,439 ahli isi rumah miskin tegar menjadi Sahabat Usahawan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia. Inisiatif ini adalah suntikan dana untuk membantu mereka memulakan perniagaan dan menambah pendapatan isi rumah.

Kerajaan Negeri amat menggalakkan penglibatan komuniti dalam proses membuat keputusan untuk menangani kemiskinan tegar di negeri ini. Penglibatan komuniti adalah kunci untuk memastikan pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar mempunyai impak.

Program Menoktahkan Miskin Tegar ini melibatkan komuniti di seluruh Sabah melalui sesi libat urus Sekretariat Sabah Maju Jaya. Ini adalah usaha untuk memastikan semua pihak terlibat dalam usaha tersebut.

“Kita mengakui terdapat cabaran dalam menjadikan hasrat menoktahkan kemiskinan tegar menjadi realiti. Namun, dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, harapan untuk menghapuskan kemiskinan tegar di Sabah, insya-Allah, akan menjadi kenyataan.

“Kita tidak boleh melakukan ini bersendirian. Menjadikan harapan dan impian rakyat Sabah suatu kenyataan perlukan sokongan semua pihak. Saya menadah tangan memohon pertolongan semua untuk kita sama membantu rakyat kita, sama-sama kita hapuskan kemiskinan tegar ini,” kata Hajiji dengan nada sebak. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

Akur isu kemiskinan tegar rakyatnya perlukan penyelesaian tuntas, kerajaan negeri Sabah menjadikan moto ‘Sabah Maju Jaya’ sebagai pegangan dalam merangka perancangan dan pendekatan bagi merungkai tuntas masalah itu.

Artikel terakhir daripada laporan tiga bahagian tentang kemiskinan tegar di Sabah ini menyoroti pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri, khususnya menerusi Sekretariat Sabah Maju Jaya.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.